
SERIAN: Ketua Polis Daerah Serian Supt Freddy Bian Stanislaus Bian mengesahkan bahawa dua lelaki tempatan telah ditahan berhubung kes kecurian di pasar raya Everwin Serian dan Everwin Tarat.
Beliau berkata, tangkapan dibuat pada Jumaat selepas satu video tular membantu polis mengesan kedua-dua suspek. Kedua-dua lelaki, berusia 27 dan 32 tahun, ditahan bersama kenderaan yang mereka gunakan.
Menurut Freddy, siasatan mendapati kedua-dua suspek mempunyai lima rekod jenayah lampau melibatkan kes dadah dan harta benda.

Kecurian di Everwin Serian dan Everwin Tarat, yang berlaku pada 13 dan 29 November 2025, menyebabkan kerugian kira-kira RM2,000.
Freddy berkata Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Serian berjaya merampas enam mentega Golden Churn 250g dan pakaian yang digunakan semasa kejadian.
Kedua-dua suspek kini ditahan di lokap Balai Polis Serian untuk siasatan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga sepuluh tahun, atau denda, atau kedua duanya sekali.
Freddy turut menggesa orang ramai terus menyalurkan maklumat mengenai sebarang kegiatan jenayah di Daerah Serian.
Maklumat boleh diberikan melalui talian IPD Serian di 082 874201 atau melalui laman Facebook Polis Daerah Serian.
Oleh Connie Chieng