Pengurus Chelsea Enzo Maresca (kanan). Foto AFP
BOURNEMOUTH (United Kingdom): Enzo Maresca bimbang Liam Delap bakal kembali berehat panjang selepas penyerang itu mengalami kecederaan bahu dalam keputusan seri 0-0 Chelsea menentang Bournemouth awal pagi tadi.
Delap mengalami kecederaan pada minit ke-30 selepas bergasak dengan pertahanan Bournemouth, Marcus Senesi, ketika situasi sepakan penjuru.
Dia keluar padang dan Maresca tidak menjangkakan pemain itu akan kembali dalam masa terdekat.

Masalah kecederaan terkini Delap hadir selepas kecederaan pangkal paha yang dialaminya ketika menentang Fulham pada Ogos lalu menyebabkan dia terpaksa diketepikan selama dua bulan pada musim pertamanya bersama kelab itu selepas perpindahan musim panas dari Ipswich.
Belum menjaringkan gol Liga Perdana pertamanya untuk Chelsea, ketiadaan Delap menambah kesukaran Maresca selepas The Blues gagal menang dalam tiga perlawanan berturut-turut.
“Dia sudah berehat dua bulan dan kini terpaksa direhatkan lagi,” kata Maresca.
“Kami tidak tahu untuk berapa lama, tetapi bahunya nampak agak teruk.
Dia memang tidak bernasib baik. Kami juga kurang bernasib baik kerana kami perlukan pemain nombor sembilan seperti itu. Hari ini kami cuba gunakan Marc.”
Selepas babak pertama yang hambar, Chelsea tampil lebih baik pada separuh masa kedua dan mempunyai peluang untuk menang melalui Pedro Neto, yang memaksa satu percubaan diselamatkan dengan baik oleh Djordje Petrovic, serta Alejandro Garnacho yang menanduk hantaran Neto ke tiang gol.
Penyerang Chelsea, Cole Palmer, kembali beraksi selepas dua bulan diketepikan akibat kecederaan, diberikan kurang daripada sejam dalam penampilan sulungnya sejak September.
Namun Palmer mensia-siakan satu-satunya peluangnya ketika Chelsea di tangga keempat gagal memanfaatkan kekalahan pendahulu liga, Arsenal, 2-1 kepada Aston Villa.
“Kami kekurangan kualiti di kawasan serangan terakhir,” kata Maresca, yang pasukannya kini ketinggalan lapan mata di belakang Arsenal.
“Banyak kesilapan, hantaran tidak tepat di kawasan terakhir, dan detik-detik di mana kami sepatutnya melepaskan percubaan.
Itu kesilapan biasa, hantaran terakhir di kawasan serangan. Cole bagus dalam aspek itu, dia bermain sejam hari ini. Penting untuk dia bina semula kecergasan.”
“Kekurangan kualiti di bahagian serangan akhir, tetapi kami tahu kami tidak akan menjaringkan gol dalam setiap perlawanan.” – AFP