Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Eksklusif: Sulaman keringkam terus dipertahan, proses halus ambil masa sehingga sebulan
  • TEMPATAN

Eksklusif: Sulaman keringkam terus dipertahan, proses halus ambil masa sehingga sebulan

Utusan Sarawak 7 hours ago
PENGGIAT seni keringkam, Maslina Alim bersama sulaman bermotif bunga Tanjung, Pelayang, Kerang dan Kenanga yang dihasilkannya ketika ditemui Utusan Sarawak di Kampung Budaya Sarawak, hari ini.

SANTUBONG: Warisan seni sulaman keringkam terus dipelihara apabila penggiat kraf tradisional, Maslina Alim asal Kuching tampil berkongsi proses pembuatan keringkam yang halus, rumit, memerlukan ketelitian tinggi dan kaya nilai seni.

Maslina menerangkan bahawa sulaman keringkam mengangkat pelbagai motif tradisi seperti bunga Tanjung, bunga Pelayang, bunga Kenanga dan bunga Kerang yang sering diolah menjadi bentuk menyerupai pelayang serta melambangkan kreativiti turun-temurun masyarakat Melayu Sarawak.

Setiap bunga, jelasnya, memiliki bentuk serta susunan benang yang unik. “Motif ini boleh diubah suai mengikut kreativiti, ditambah atau disusun semula mengikut rekaan,” katanya kepada Utusan Sarawak ketika ditemui.

Menurut Maslina, benang yang digunakan lazimnya berwarna kuning dan diperbuat daripada benang emas, dibeli dari luar negara termasuk Turkiye dan Singapura.

“Harganya mencecah lebih RM100 bagi satu gelungan, dan kami membelinya secara berkala mengikut keperluan,” ujarnya.

HASIL sulaman keringkam bermotif bunga Tanjung, Pelayang, Kerang dan Kenanga yang dihasilkan penggiat seni, Maslina Alim, dipamerkan ketika ditemui Utusan Sarawak di Kampung Budaya Sarawak, hari ini. 

Beliau memberitahu, tempoh menyiapkan satu-satu sulaman bergantung sepenuhnya pada kerumitan motif.

Untuk rekaan asas, prosesnya mengambil masa seminggu hingga dua minggu, manakala rekaan padat dan berperincian tinggi boleh memakan masa sehingga sebulan.

“Bagi yang sudah mahir, sekuntum bunga keringkam boleh disiapkan dalam kira-kira dua minggu. Prosesnya memerlukan kefahaman tentang cara meletakkan benang sebelum dibuka untuk membentuk bunganya,” tambahnya.

Menyentuh harga, Maslina menjelaskan setiap hasil keringkam dinilai mengikut saiz, bilangan motif dan sama ada ia dipasang dalam bingkai.

“Keringkam mudah boleh mencecah lebih RM100, manakala saiz sederhana sekitar RM200. Jika bunganya banyak dan perinciannya halus, harganya boleh meningkat antara RM300 hingga RM400 ke atas,” jelasnya.

HASIL sulaman keringkam bermotif bunga Tanjung, Pelayang, Kerang dan Kenanga yang dihasilkan penggiat seni, Maslina Alim, dipamerkan ketika ditemui Utusan Sarawak di Kampung Budaya Sarawak, hari ini. 

Beliau berkata, kebanyakan pelanggan lebih gemar membeli keringkam yang telah dibingkaikan kerana tahan lama dan sesuai dijadikan hiasan mahupun cenderamata eksklusif.

“Harga bingkai turut mempengaruhi kos akhir, namun penilaiannya tetap bergantung kepada berapa banyak bunga yang ditenun di dalamnya,” katanya.

Maslina turut menyuarakan harapan agar lebih ramai generasi muda tampil mempelajari seni keringkam supaya warisan Melayu Sarawak ini terus hidup, dihargai dan tidak sesekali ditelan arus perubahan zaman.

Oleh Shikin Mahmud

Continue Reading

Previous: JKM jaga kebajikan OKU warga emas selepas anak ditemui meninggal dunia
Next: Uggah sorot jasa Abang Johari sempena pelancaran biografi politik premier pertama Sarawak

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.