Belaga: Seramai 150 orang peserta telah menyertai Program Keusahawanan: Pemasaran Produk dan Perkhidmatan Melalui Teknologi Digital yang diadakan bertujuan membantu usahawan, terutamanya para usahawan belia di Belaga.
Menerusi kenyataan Kementerian Perdaganhan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan (MINTRED) peserta mendapat pendedahan yang luas berkenaan teknik pemasaran produk dan perkhidmatan melalui teknologi digital seperti platform e-Commerce atau e-Dagang.
Ini adalah selaras dengan idea dan saranan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang menggalakan semua agensi-agensi kerajaan dan swasta serta masyarakat Sarawak termasuk para usahawan dan peniaga membangunkan Sarawak melalui konsep ekonomi digital.
Pelaksanaan program di Belaga ini adalah cetusan idea Menteri Muda Elektrik Luar Bandar, Datuk Liwan Lagang, merangkap Ahli Dewan Undangan Ngeri (ADUN) Belaga dan didokong oleh Menteri Muda Pembangunan Usahawan an PKS, Datuk Mohd. Naroden Majais.
Program seperti ini amat penting dalam membantu usahawan di Belaga dalam mempelajari kaedah terkini untuk meluaskan pasaran produk perniagaan mereka melalui platform teknologi digital.
Para peserta diberi pendedahan dengan tajuk-tajuk pembentangan pemasaran terkini seperti kaedah mengenal pasti ruang dan peluang, facebook live, Whatsapp business, youtube dan lain-lain.
Para peserta juga didedahkan tentang trend pembelian oleh pengguna pada masa kini yang telah berubah, pembelian secara bersemuka sudah jarang dilakukan.
Pengguna lebih gemar membuat pembelian secara online kerana lebih banyak pilihan dapat dilakukan pada bila-bila masa dan pengguna boleh membuat perbandingan harga dan bayaran boleh dilakukan secara e-wallet atau online banking.
Semua ini melibatkan perniagaan secara cashless. Oleh itu para peserta program perlu merebut peluang dan menguasai ilmu perniagaan secara online tanpa sempadan ini (cross border trade).
Di samping itu juga, pihak MINTRED juga telah memberi penerangan kepada para peserta berkenaan bantuan-bantuan yang boleh diperolehi seperti geran Program Graduan ke Arah Keusahawanan (GERAK), geran Program Usahawan Teknikal dan Vokasional (USTEV), Skim Pinjaman Industri Kecil dan Sederhana (SPIKS) dan pinjaman Skim Kredit Mikro Sarawak (SKMS).
Semua bantuan ini dapat membantu para usahawan untuk meningkatkan perniagaan mereka atau untuk memulihkan semula perniagaan yang terjejas akibat pandemik Covid 19.
Semasa program ini juga, agensi seperti Agrobank, Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak atau SEDC dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah membuka info desk bagi memberi penerangan kepada para peserta berkenaan jenis-jenis bantuan atau produk yang boleh memberi manfaat kepada mereka.
Program berlangsung di Dewan Masyarakat, Belaga yang dirasmikan bersama oleh Datuk Mohd. Naroden Yang Berhormat Datuk Liwan Lagang ini diharap dapat memberi pendedahan kepada para peserta berkenaan teknik dan kaedah pemasaran terkini yang lebih banyak memberi manfaat kepada para usahawan.
Oleh Alexandra Lorna