
ATHENS: Banjir besar, tanah runtuh dan kerosakan infrastruktur dilaporkan di seluruh Greece pada Khamis apabila ribut kuat Byron melanda negara itu, membawa hujan lebat, ribut petir dan angin kencang, lapor Xinhua.
Semenanjung Peloponnese di selatan Greece antara kawasan yang paling terjejas, dengan banjir besar di Laconia yang menenggelamkan rumah dan kawasan pertanian, manakala jalan utama menuju ke pusat wilayah Sparta terputus, menurut penyiar nasional Greece ERT.

Pihak berkuasa menggerakkan jentera berat untuk memastikan laluan utama kekal terbuka, namun hujan berterusan mencetuskan tanah runtuh dan meningkatkan kebimbangan kemungkinan limpahan air sungai.
Di Crete, pulau terbesar Greece, hujan lebat menyebabkan penutupan jalan, tanah runtuh dan kerosakan infrastruktur, khususnya di daerah selatan.
Di Heraklion, bandar utama pulau itu, hakisan tanah menyebabkan sebahagian jalan runtuh sehingga sebuah kenderaan terjatuh ke dalam lubang pembinaan. Tiada kecederaan dilaporkan, dan pihak berkuasa tempatan membuka pusat perlindungan sementara untuk gelandangan.

Kerajaan mengadakan mesyuarat kecemasan yang dipengerusikan Menteri Krisis Iklim dan Perlindungan Awam Yiannis Kefalogiannis ketika sistem ribut itu bergerak merentasi negara.
Pegawai memberi amaran mengenai keadaan yang semakin meruncing dengan cepat dan menggesa penduduk mengehadkan pergerakan serta mematuhi arahan keselamatan rasmi.
Pakar kaji cuaca berkata ribut itu dijangka bertambah kuat pada waktu malam, khususnya di Attica dan beberapa kawasan lain di tengah Greece.
Angin dijangka mencapai tahap 8-9 pada skala Beaufort, sekali gus berpotensi menghasilkan gelombang ribut di sepanjang pantai Aegean termasuk Kepulauan Dodecanese di tenggara, di mana banjir awal sudah pun dilaporkan.- Bernama-Xinhua