
SHAH ALAM: Ahli perniagaan Albert Tei dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan memberi suapan berjumlah RM64,924 kepada bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin bagi membantu mendapatkan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.
Albert Tei Jiann Cheing, 37, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin.
“Faham (pertuduhan). Saya mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan,” kata Tei.
Tei didakwa memberikan suapan itu kepada Shamsul Iskandar di sebuah bank di Country Heights, Kajang antara 28 November 2023 hingga 23 September 2024.
Wang itu dimasukkan ke dalam akaun bank seorang wanita bagi tujuan pembayaran penyewaan rumah di Kuala Lumpur dan didakwa sebagai dorongan untuk membantu syarikat-syarikat Tei yang mempunyai kepentingan mendapatkan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 [Akta 694] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Farah Ezlin Yusop Khan serta Nurul Qistini Qamarul Abrar manakala Tei diwakili peguam Mahajoth Singh, Eric Paulsen dan Rajesh Nagarajan.
Pada prosiding itu, Farah Ezlin memohon mahkamah untuk mengguna pakai terma dan syarat jaminan sama terhadap Tei di atas empat pertuduhan rasuah dihadapinya di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
“Semalam (Tei) dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan pihak kami mencadangkan jaminan yang dibenarkan iaitu RM70,000 dengan dua penjamin warganegara Malaysia dengan syarat tambahan melapor diri sebulan sekali di Pejabat SPRM dan tidak mengganggu saksi diguna pakai dalam kes ini.
“Kami juga memohon kes dipindahkan ke Mahkamah Sesyen 8 Kuala Lumpur dengan tarikh sebutan di mahkamah itu pada 8 Januari 2026,” katanya.
Hakim Mohd Nasir membenarkan permohonan pendakwaan untuk mengguna pakai terma dan syarat jaminan serta kes dipindahkan untuk dibicarakan bersama-sama pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Semalam, Tei mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan memberi suapan berjumlah RM176,829.03 kepada Shamsul Iskandar yang didakwa bagi membantu mendapatkan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.- Bernama