Bruno Fernandes dan Manchester United melalui malam yang mengecewakan menentang pasukan West Ham yang sedang bergelut. Foto AFP
MANCHESTER, (United Kingdom): Masalah Manchester United mempertahankan kelebihan gol sekali lagi memakan diri apabila mereka terlepas peluang naik ke lima teratas Liga Perdana selepas West Ham yang bergelut di zon bawahan bangkit untuk mengikat perlawanan 1-1 di Old Trafford sebentar tadi.
Gol liga pertama Diogo Dalot dalam 19 bulan meletakkan pasukan Ruben Amorim di depan, namun mereka gagal menamatkan perlawanan dengan kemenangan apabila Soungoutou Magassa menjaringkan gol penting dalam usaha pelawat mengelak penyingkiran.

United hanya tewas sekali dalam lapan perlawanan terakhir, namun sepatutnya berada di kedudukan lebih baik jika tidak kerana mata yang tercicir daripada kedudukan mendahului menentang Nottingham Forest, Tottenham, Everton dan kini West Ham.
The Red Devils kini berada di tangga kelapan liga, hanya dua mata daripada empat teratas.
Keputusan seri ini pula membantu West Ham merapatkan jurang kepada dua mata daripada zon selamat ketika kebangkitan mereka di bawah Nuno Espirito Santo terus berjalan.
Amorim menyambut kepulangan Matheus Cunha daripada kecederaan untuk memperkukuh jentera serangan United, tetapi tuan rumah tetap kekurangan kreativiti dan intensiti untuk memecahkan benteng pertahanan West Ham yang tersusun baik.
Joshua Zirkzee menamatkan hampir setahun kemarau gol Liga Perdana ketika membantu kebangkitan United menewaskan Crystal Palace yang keletihan pada Ahad.
Namun pemain Belanda itu kembali tumpul tanpa kehadiran Benjamin Sesko yang cedera sebagai tumpuan utama serangan United.
Zirkzee hampir membuka tirai jaringan sebelum rehat apabila beliau menggunakan paha untuk menyambut hantaran berbahaya Amad Diallo, tetapi Aaron Wan-Bissaka menanduk keluar bola atas garisan untuk menyelamatkan bekas kelabnya itu.
Reprieve West Ham hampir tidak bertahan lama apabila bola muntah jatuh kepada Bruno Fernandes yang kemudian menyepak voli melencong mengena bahagian luar tiang gol.
Pelawat pula kehilangan ancaman Lucas Paqueta selepas pemain Brazil itu dibuang padang kerana bantahan melampau dalam kekalahan kepada Liverpool pada Ahad.
Ini menyebabkan Jarrod Bowen terpaksa memikul tanggungjawab kreativiti lebih besar untuk West Ham dan hampir menghasilkan gol daripada gerakan solo menggelecek empat cabaran pemain United sebelum percubaannya terkena defleksi dan mudah diselamatkan Senne Lammens.
United akhirnya memanfaatkan penguasaan bola mereka menerusi sumber yang tidak dijangka — beberapa minit sebelum sejam perlawanan.

Amorim sebelum ini menyatakan bahawa Dalot adalah antara pemain yang “jauh daripada prestasi terbaik” dalam skuad United.
Namun pemain Portugal itu membalas kritikan tersebut dengan gol Liga Perdana pertamanya sejak Mei 2024.
Percubaan Casemiro yang terkena defleksi jatuh tepat di kaki Dalot, yang kemudian mengawal bola pantas sebelum melepaskan rembatan ke penjuru jauh.
Tetapi United kecewa kerana gagal menambah jaringan apabila West Ham bangkit menyamakan kedudukan.
Bowen sekali lagi menjadi pencetus apabila beliau memenangi sepakan penjuru dan kemudian menanduk hantaran Andy Irvine ke arah pintu gol.
Noussair Mazraoui menanduk keluar di atas garisan tetapi bola jatuh tepat kepada Magassa, yang menyumbat masuk gol pertamanya dalam bola sepak England.
Fernandes masih berpeluang untuk membawa pulang tiga mata pada masa kecederaan namun dua percubaannya melambung tinggi dan tersasar akibat kurang tenang ketika menyudah.— AFP