
KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah kini sedang dirawat di sebuah hospital swasta di sini.
Perkara itu disahkan anaknya Naim Kurniawan Moktar bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut mengenai punca bapanya dirawat.
Beliau memohon semua pihak supaya mendoakan kesihatan Ahli Dewan Undangan Negeri Lamag itu.
Dalam perkongsian di Facebook, Naim Kurniawan berkata selaku wakil keluarga, beliau menyampaikan setinggi-tinggi terima kasih kepada seluruh imam di Lamag yang telah mengadakan solat hajat serta memohon doa kepada Allah SWT demi kesihatan bapanya.
“Doa dan keprihatinan para imam amat kami hargai dan menjadi sumber kekuatan kami sekeluarga. Semoga Allah SWT memberkati segala usaha dan mengurniakan ganjaran yang berlipat ganda kepada tuan-tuan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dalam kenyataan ringkas mendoakan supaya Bung Moktar diberikan kesembuhan segera serta dipermudahkan segala urusan rawatan beliau.
“Semoga Allah SWT mengurniakan kekuatan, ketabahan dan perlindungan kepada beliau serta seluruh ahli keluarga dalam menghadapi ujian ini. Sesungguhnya setiap dugaan ada hikmahnya, insya-Allah, mudah-mudahan beliau segera pulih dan kembali seperti sediakala,” katanya.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Rahman Dahlan dalam kenyataan ringkasnya turut mendoakan Bung Moktar mendapat kesembuhan segera.
-Bernama