
PETRA JAYA: Kerajaan Sarawak turur mengumumkan pemberian bantuan kewangan khas berjumlah RM500 kepada setiap pesara perkhidmatan awam negeri sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan sumbangan mereka dalam membangunkan negeri.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata insentif itu diberikan sebagai pengiktirafan kepada pengorbanan para pesara yang telah menabur bakti sepanjang tempoh perkhidmatan mereka, terutama dalam menyokong agenda pembangunan negeri sejak sekian lama.
“Kerajaan tidak pernah melupakan sumbangan pesara kita. Mereka adalah golongan yang meletakkan asas kepada kejayaan pentadbiran Sarawak hari ini.
“Oleh itu, kerajaan bersetuju memberikan bantuan ‘one-off’ RM500 sebagai penghargaan,” katanya ketika menggulung perbahasan pada hari terakhir sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
Abang Johari berkata pemberian itu akan melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM50 juta, menandakan komitmen kerajaan Sarawak untuk memastikan kebajikan golongan pesara terus dijaga walaupun mereka tidak lagi berada dalam perkhidmatan aktif.
Beliau berkata para pesara merupakan tulang belakang yang sebelum ini memastikan sistem pentadbiran, pembangunan dan penyampaian perkhidmatan negeri dapat dijalankan dengan cekap, teratur dan berkesan.
“Walaupun mereka sudah bersara, sumbangan mereka masih dirasai sehingga hari ini. Kita membina masa depan Sarawak di atas usaha dan pengorbanan mereka,” katanya.
Pemberian insentif pesara itu turut melengkapkan rangkaian bantuan penjawat awam yang diumumkan oleh kerajaan negeri, termasuk Bantuan Khas Kewangan bersamaan dua bulan gaji kepada penjawat awam Sarawak dan RM700 kepada penjawat awam Persekutuan yang berkhidmat di Sarawak.
Bagaimanapun, insentif RM700 kepada pengamal media swasta dan insentif pesara ini adalah penambahan baharu.
Beliau menambah, kerajaan negeri akan terus memastikan penjawat awam dan pesara berada dalam keadaan kebajikan yang baik kerana kedua-duanya memainkan peranan besar dalam menyokong agenda pembangunan jangka panjang Sarawak.
“Kejayaan negeri hari ini adalah hasil usaha generasi sebelum kita. Kita tidak akan sesekali mengabaikan jasa mereka,” katanya.
Oleh SHAHRUL QAIZAT