
PETRA JAYA: Karen Lyne Dick mencipta sejarah sebagai rakyat Malaysia pertama menjuarai Beregu Wanita serta muncul Naib Juara Beregu Campuran di Kejohanan World Table Tennis (WTT) Feeder Vientiane 2025 di Laos, selain meraih Naib Juara Beregu Wanita di WTT Feeder Vila Nova de Gaia 2025 di Portugal.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata kejayaan Karen bersama deretan pencapaian atlet muda Sarawak tahun ini membuktikan keberkesanan sistem pembangunan sukan negeri serta komitmen atlet yang terus mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia.
“Kita bangga kerana atlet Sarawak semakin menyerlah di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
“Kejayaan dalam memanah, akuatik, bina badan, tinju, berbasikal, sukan tarian, terjun, golf, bola baling, muaythai, boling tenpin dan silambam adalah hasil pelaburan jangka panjang negeri dalam pembangunan sukan,” katanya ketika menggulung perbahasan kementeriannya pada Persidangan DUN ke-19 di sini, hari ini.

Dalam sukan boling tenpin, Gillian Lim melakar sejarah apabila dinobatkan Anugerah Pemain Wanita Bowling Profesional (PWBA) Rookie of the Year 2025 di Amerika Syarikat, manakala Eldred Kho Yek Zhen meraih tempat ketiga beregu lelaki di Kejohanan Remaja Asia di Doha, Qatar.
Bagi golf, Mirabel Ting Ern Huo mencuri perhatian apabila membuat penampilan pertama di Kejohanan Amundi Evian LPGA di Perancis sebelum mara ke Peringkat Akhir LPGA Q-Series di Alabama, membuka laluan ke Jelajah LPGA.

Dalam sukan tempur, Daeloniel McDelon Bong atau Kilat Boy mengekalkan reputasi apabila menjuarai Kejohanan WBC Asia Continental Super Bantamweight selain cemerlang di TWINS Championship 103.

Atlet muaythai, Muhammad Mikail Ghazali Zulfikar (Miki), turut membawa pulang emas di Kejohanan Dunia Muaythai Belia IFMA di Abu Dhabi, UAE.
Dalam memanah, Joey Tan Xing Lei menyumbang gangsa dalam acara Pasukan Wanita Recurve di Kejohanan Memanah Asia ke-24 di Dhaka, Bangladesh.
Di pentas silambam dunia, Aysraff Aqil Mohamad Zainurrin Azman meraih emas kategori Poruthal melebihi 55kg, manakala Hani Qurratu ’Ain Samsuddin membawa pulang perak kategori melebihi 70kg di Kejohanan Silambam Terbuka Dunia di Qatar.

Atlet terjun Sarawak terus menjadi sandaran negara dengan Elvis Priestly Clement memenangi perak 3m Springboard Synchro di Kejohanan Akuatik Asia ke-11 di Ahmedabad, India. Elisha Rania Rajagopal pula meraih tiga pingat — perak 3m Springboard, perak Platform Synchro dan gangsa Platform 10m — manakala Bertrand Rhodict, Enrique Maccartney Anak Harold serta Nurul Farisya Alia Affendi turut membawa pulang pingat perak dalam acara masing-masing.
Dalam kejohanan Bina Badan dan Fisique Asia Tenggara ke-19 serta Asia ke-57 di Bangkok, Dr Malvern Abdullah meraih perak Kategori Fizik Atletik Lelaki hingga 160cm.
Joseph Ladi dan Azri Asmat Sefri masing-masing memenangi gangsa kategori 65kg dan 55kg, manakala Philomena Dexclyn Siar membawa pulang gangsa Kategori Fizik Sukan Wanita
melebihi 165cm.
Di Kejohanan Dunia ke-16 di Batam, Siti Hadjar Mansor turut menggondol gangsa kategori wanita hingga 55kg.
Dalam sukan tarian, Eunice Chen Xin Ling menjuarai tiga acara iaitu Latin Belia Solo Wanita, Tarian Solo Belia Tunggal dan Kumpulan Terbuka pada Kejohanan Sukan Tarian Terbuka Antarabangsa Sarawak 2025.
Atlet bola baling Sarawak, Rossavel Abia Usun Lusat dan Esther Charles Urek, kedua-duanya berusia 15 tahun, membantu Malaysia menamatkan saingan dalam kelompok 10 terbaik pada Kejohanan Trofi IHF di Suphan Buri, Thailand.
Bagi kriket, Mohammad Hariz Afnan Sulhie terpilih menyertai skuad negara ke Piala Perdana B-19 Lelaki Majlis Kriket Asia di Ajman, UAE.
Sukan berbasikal turut menunjukkan kekuatan seimbang merentasi tiga disiplin. Pasukan trek membawa pulang empat emas, tujuh perak dan satu gangsa di Kejohanan Trek Kebangsaan Malaysia di Iskandar Puteri, Johor, dengan prestasi konsisten Muhammad Daniel Hakim Zulkaisi dan Afif Darwysh Mohammad Nazir.
Dalam disiplin Basikal Gunung(MTB), Aimy Nazurah Rais muncul juara kategori Belia wanita di Machang, Kelantan, manakala Sharifah Nur Aina Marissa dan Nur Farah Ain Nabiela turut menaiki podium. Bagi BMX, Luthfil Hasief Freddie dan Airis Nabihah Rais muncul juara kebangsaan di Nilai, Negeri Sembilan.
Abdul Karim berkata kecemerlangan menyeluruh ini membuktikan Sarawak sedang membina generasi atlet bertaraf dunia melalui program latihan berfasa, sokongan kejurulatihan dan pendedahan pertandingan yang konsisten.
Oleh Adele Rissa