
KUALA LUMPUR: Teruja dapat kembali ke Malaysia, penyanyi bersuara emas dari Indonesia Andmesh Kamaleng bakal menghangatkan pentas tempatan menerusi konsert ‘ANDMESH Love Story: Suara Dari Ketulusan Hati’ yang dijadual berlangsung di Mega Star Arena di sini, 14 Februari depan.
Andmesh berkata Malaysia sentiasa menjadi lokasi istimewa dalam karier seninya berikutan sokongan kuat peminat di negara ini.
“Malaysia selalu punya tempat istimewa di hati saya. Energi penonton di sini luar biasa. Konsert ini sangat personal kerana ia membawa perjalanan muzik saya sejak awal hingga sekarang. Saya ingin peminat merasai setiap cerita di sebalik lagu-lagu saya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Konsert anjuran DTC Entertainment Sdn Bhd itu dijangka menjadi antara persembahan paling berprestij tahun depan, mengambil kira populariti Andmesh yang terus meningkat selepas meraih pelbagai anugerah di Indonesia, selain kejayaan lagu-lagunya mendominasi carta serantau.
Sejak kemunculannya sebagai juara Rising Star Indonesia 2017, Andmesh berkembang menjadi antara vokalis paling berpengaruh dalam industri muzik Indonesia.
Lagu-lagunya bukan sahaja meraih jutaan penstriman, malah kerap tular di Malaysia, Singapura, Brunei serta beberapa negara Asia.
Lagu-lagu yang mengukuhkan nama Andmesh termasuk Cinta Luar Biasa yang melepasi ratusan juta tontonan di YouTube dan menjadi antara lagu cinta paling ikonik di rantau ini.
Hanya Rindu, karya penuh emosi yang meraih anugerah Best Pop Solo Performance di Indonesia, turut mendapat sambutan kuat dalam kalangan pendengar.
Single lain seperti Kumau Dia, Anugerah Terindah, Nyaman dan Jangan Rubah Takdirku pula terus menampilkan konsistensi vokal serta keupayaannya menghasilkan karya yang dekat di hati peminat.
Tiket konsert berharga RM238 hingga RM1,088 boleh dibeli melalui www.ticket2u.com.- Bernama