
BINTANGOR: Keadaan di tiga kawasan rendah berisiko banjir kekal terkawal meskipun trend air menunjukkan peningkatan ketika rondaan pemantauan monsun timur laut (MTL) oleh pihak bomba sejak malam tadi hingga awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, Mahmudin Narudin, berkata rondaan pemantauan melibatkan dua anggota bomba yang ditugaskan memeriksa paras air Taman Bintang, Jalan Dermaga dan Jalan Fooh Ping.
“Rondaan dilaksanakan di beberapa kawasan berisiko banjir di Daerah Meradong dan keadaan setakat ini adalah baik serta terkawal.
“Cuaca pada waktu rondaan berada dalam keadaan baik walaupun trend paras air menunjukkan peningkatan.
“Trend air didapati menaik namun tiada perubahan mendadak yang menimbulkan risiko kepada keselamatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Tambahnya, pihak bomba tidak menerima sebarang panggilan kecemasan sepanjang rondaan dijalankan.
“Rondaan pemantauan akan diteruskan di setiap kawasan rendah berisiko banjir sepanjang musim MTL,” katanya.
Oleh Earl Anek