
BINTANGOR: Warga Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Amin diberikan pendedahan awal mengenai keselamatan kebakaran melalui program latihan dan ceramah yang dikendalikan oleh pihak Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor.

Ketua BBP Bintangor, Mahmudin Narudin, berkata, program tersebut bermula pada 9.00 pagi hingga 12.30 tengah hari semalam.
“Saya bersama enam anggota bomba bertugas mengendalikan program kesedaran awam ini.
“Antara pengisian program termasuk latihan pengungsian bangunan, taklimat kesedaran keselamatan dan pencegahan kebakaran, serta pengenalan kepada alat pemadam api,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Katanya, pendedahan awal mengenai keselamatan kebakaran penting bagi membentuk keupayaan warga sekolah mengenali risiko dan bertindak dengan betul ketika kecemasan.
“Program seperti ini penting untuk membantu warga sekolah memahami prosedur keselamatan dan cara yang betul untuk bertindak ketika kecemasan.
“Demonstrasi tatacara menyelamatkan diri daripada asap serta latihan yang melibatkan teknik “berhenti, rebah, guling” turut dilaksanakan secara praktikal bagi meningkatkan kefahaman.
“Selain itu, demonstrasi teknik mengendalikan kebakaran dapur memasak juga dijalankan sebagai pendedahan asas kepada langkah pencegahan dan tindak balas awal ketika insiden kebakaran berlaku,” katanya.

Tambahnya, program tersebut juga turut menampilkan pameran jentera bomba bagi memberikan peluang kepada warga sekolah melihat lebih dekat peralatan dan fungsi jentera yang digunakan dalam operasi menyelamat.
“Kesemua aktiviti berjalan dengan baik dan mendapat penyertaan aktif daripada warga sekolah.
“Kami berharap program ini dapat meningkatkan kesedaran keselamatan kebakaran dalam kalangan warga sekolah,” katanya lagi.
Oleh Earl Anek