
Foto AFP
BOGOTA (Colombia): Sekurang-kurangnya 12 maut manakala 30 lagi hilang selepas runtuhan tebing sungai menyebabkan dua bot penumpang terbalik di Sungai Ucayali, Peru semalam, lapor Anadolu Ajansi memetik pihak berkuasa.
Kejadian berlaku pada awal pagi berhampiran pelabuhan Iparia, sebuah lokasi terpencil yang mengambil masa lebih sehari perjalanan menaiki bot dari Pucallpa, ibu negara wilayah Ucayali.
Menurut Pusat Operasi Kecemasan Pertahanan (COEN) Peru, hakisan tebing yang berlaku secara tiba-tiba menyebabkan tanah runtuh ke dalam sungai, mencetuskan aliran air kuat yang mengganggu kestabilan bot.

Kedua-dua bot berkenaan sedang berlabuh ketika runtuhan berlaku. COEN memaklumkan sebuah bot tidak membawa penumpang manakala sebuah lagi membawa kira-kira 50 orang.
Foto yang dikongsi di media sosial menunjukkan orang ramai berpaut pada cebisan kayu bagi mengelakkan diri daripada lemas.
Pasukan penyelamat mengesahkan tiga kanak-kanak antara mangsa maut. Operasi mencari sedang dijalankan dengan bantuan Tentera Laut Peru bagi mengesan mangsa yang hilang.
Wilayah Ucayali, merupakan kawasan hutan yang bersempadan dengan Loreto di utara dan Brazil di timur. – Bernama