

Majlis Graduasi PCCL Kohort II anjuran MyREF yang berlangsung di MIHE, Leicester, United Kingdom, baru-baru ini. Foto: ADUN Lingga
SIMANGGANG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor, telah menghadiri Majlis Graduasi Sijil Profesional dalam Kepimpinan Kontemporari (PCCL) Kohort II anjuran Yayasan Penyelidikan dan Pendidikan Malaysia (MyREF).
Majlis graduasi tersebut berlangsung di Institut Pendidikan Tinggi Markfield (MIHE), Leicester, United Kingdom.
Majlis berprestij itu meraikan kejayaan 30 peserta dari pelbagai sektor termasuk perkhidmatan awam, institusi pendidikan tinggi, korporat serta organisasi masyarakat.
Penyertaan Dayang Noorazah, meskipun berdepan komitmen tugas yang padat, mencerminkan komitmen beliau dalam meningkatkan ilmu serta kapasiti kepimpinan demi memperkukuh mutu perkhidmatan kepada rakyat.
Program PCCL memberi tumpuan kepada pembangunan kepimpinan strategik dan pembentukan visi dalam organisasi.
Ia turut mengutamakan kepimpinan berasaskan nilai, kepimpinan inklusif, pengurusan kepelbagaian serta keupayaan memimpin dalam persekitaran global yang penuh cabaran.
Komponen lain merangkumi aspek tadbir urus dan proses membuat keputusan berimpak tinggi bagi memperkukuh keupayaan peserta menghadapi situasi kompleks.
Peserta juga melaksanakan projek kepimpinan strategik sebagai penilaian utama bagi mengukur kemahiran, penerapan nilai dan keberkesanan pendekatan kepimpinan.


Majlis Graduasi PCCL Kohort II anjuran MyREF yang berlangsung di MIHE, Leicester, United Kingdom, baru-baru ini. Foto: ADUN Lingga
Majlis graduasi turut menyaksikan penyampaian Anugerah Kecemerlangan Pengerusi kepada Ir. Athira Abdullah dari Unit Perancangan Ekonomi Sarawak sebagai penerima utama.
Sementara itu, Dr. Nur Aida Kipli dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sarawak meraih tempat kedua, manakala Ir. Zaid Iskandar Jaraiee dari Sarawak Water Sdn. Bhd. berada di tempat ketiga.
Penghargaan turut disampaikan kepada pasukan MyREF yang memainkan peranan besar memastikan kelancaran keseluruhan program.
Antara yang dihargai termasuk Emeritus Dr Dato’ Abang Abdullah Abang Ali, Ts. Khairuddin Rais, Syuaib Supani, Muhammad Fadhli Md Yunus, Lubna Khalid, Puteri Shasha Fiena Abd Shukor dan Afrina Batrisyia Ainuddin.
Penyertaan Dayang Noorazah diharap dapat memperkukuh nilai kepimpinan berasaskan integriti, inklusiviti dan keberkesanan tadbir urus, seterusnya menyokong agenda pembangunan Sarawak Maju Makmur.
Oleh Adi Safarman