KUCHING: Peruntukan dalam Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) untuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan digunakan untuk melancarkan program secara besar-besaran
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, dalam program PENJANA yang diumumkan oleh Perdana Menteri untuk memulihkan ekonomi negara, sebanyak RM20 juta diperuntukkan kepada kementerian menjalankan beberapa program terutama dua program besar iaitu Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) dan Kempen Jualan Malaysia (KJM).
“Jadi peruntukan ini akan digunakan untuk kita melancarkan program secara besar-besaran yang juga telah dilakukan oleh Perdana Menteri sendiri di KLCC pertengahan bulan Julai,” katanya kepada pemberita di Majlis Hi-Tea Media bersama beliau di Hotel Waterfront, di sini, semalam.
Dalam pada itu, beliau berkata, pelancaran KBBM dan KJM juga akan dibuat di seluruh Malaysia.
“Kita telah melancarkan di Melaka, di Sabah dan Kuching. Kita telah membuat pembukaan kecil peringkat awal dan juga dibuat di negeri lain di Perlis dan akan kita buat di semua negeri dari masa sekarang hingga penghujung tahun.
“Selain daripada pelancaran Kempen Beli Barangan Malaysia dan Kempen Jualan Malaysia ada juga program tertentu yang kita bantu neger-negeri membuat program di peringjat negeri,” ujarnya.
Nanta berkata, peruntukan RM20 juta itu mencukupi untuk membuat promosi, untuk berbelanja dan untuk membuat banyak program bagi menggerakkan semua pihak dan untuk merancakkan sektor peruncitan.
Sementara itu, beliau memberitahu, program penyeragaman harga barang bertujuan membantu mereka yang duduk jauh di pedalaman Sarawak, Sabah dan juga sesetengah negeri di Semenanjung.
“Ini kerana barang keperluan kalau tidak ada bantuan daripada kerajaan melalui program penyeragaman harga barang ini sudah tentu mereka mendapatkam produk atau barang keperluan mahal harganya sebab kos pengangkutan dan logistik adalah tinggi.
“Program ini amat digemari dan memberikan manfaat kepada penduduk di luar bandar dan kita akan teruskan,” katanya.
Tambah beliau, harga di pedalaman sama dengan harga di luar bandar.
“Peruntukan untuk tahun-tahun berlainan. Untuk tahun 2020 yang diluluskan dalam Bajet 2019 adalah RM150 juta dan untuk Sarawak RM83 juta khusus untuk di bahagian Kapit dan Baram,” jelasnya.
Pada majlis tersebut, beliau mengumumkan peruntukan RM10,000 kepada Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA) dan Persekutuan Persatuan Wartawan Sarawak (FSJA) manakala RM5,000 akan diperuntukkan kepada Pertubuhan Wartawan Bebas Kuching. Hadir sama Pengarah KPDNHEP Sarawak, Datuk Stanley Tan.
Oleh Cheryl Law