
KUALA LUMPUR: Indeks petunjuk pasaran Bursa Malaysia dibuka hampir mendatar pada Jumaat dan rendah dalam dagangan awal berikutan kekurangan pemangkin baharu dalam sentimen yang kurang menggalakkan susulan penutupan Wall Street sempena Thanksgiving Day.
Pada 9.07 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 2.97 mata atau 0.18 peratus kepada 1,614.49 daripada 1,617.46 semasa ditutup pada Khamis.
Indeks dibuka rendah 0.71 mata kepada 1,616.75.
Pasaran secara menyeluruh negatif dengan 186 kaunter rugi mengatasi 133 kaunter untung, 262 tidak berubah, 2,145 tidak diniagakan dan 48 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 182.16 juta saham bernilai RM97.71 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berpendapat bahawa bursa tempatan dijangka mencatatkan aliran keluar asing bersih berikutan ia ditutup rendah secara menyeluruh semalam.
“Bagaimanapun, kami menjangka akan terdapat aktiviti belian saham pada harga rendah berikutan tiada wujud halangan,” katanya kepada Bernama, sambil menambah indeks petunjuk pasaran dijangka berada dalam julat 1,615 hingga 1,625 hari ini.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan Public Bank, masing-masing tidak berubah pada RM9.98 dan RM4.35, CIMB menambah satu sen kepada RM7.49, Tenaga Nasional merosot lapan sen kepada RM13.20 dan IHH meningkat dua sen kepada RM8.25.
Dalam senarai paling aktif, Foodie Media yang mula disenaraikan di Pasaran ACE naik tujuh sen kepada 37 sen, Sentoria merosot setengah sen kepada dua sen, MMAG dan Aizo, masing-masing mendatar pada 7.5 sen dan 4.5 sen serta Inari Amertron berkurangan 11 sen kepada RM2.27.
Kaunter paling untung termasuklah Malayan Cement, yang meningkat 19 sen kepada RM6.89, Edaran naik 12 sen kepada RM1.28, DKSH menambah tujuh sen kepada RM5.12 dan Kumpulan FIMA meningkat enam sen kepada RM2.53.
Antara kaunter paling rugi, United Plantations merosot 18 sen kepada RM28.44, LPI berkurangan 16 sen kepada RM14.54, PPB menurun 12 sen kepada RM11.18, Kelington susut sembilan sen kepada RM5.25 dan Ajinomoto merosot lapan sen kepada RM13.40.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas berkurangan 26.29 mata kepada 11,994.37, Indeks FBM Emas Shariah merosot 38.98 mata kepada 11,962.25 dan Indeks FBMT 100 menurun 24.74 mata kepada 11,776.95.
Indeks FBM Mid 70 merosot 49.21 mata kepada 16,978.23 manakala Indeks FBM ACE berkurangan 8.25 mata kepada 4,848.41.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan jatuh 0.71 mata kepada 18,556.98, Indeks Perladangan berkurangan 34.80 mata kepada 8,095.44, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan merosot 0.12 mata kepada 164.35 manakala Indeks Tenaga meningkat 1.13 mata kepada 757.06.- Bernama