KOTA KINABALU: PKR Sabah akan bertanding di tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan Pengerusinya, Datuk Christina Liew akan mempertahankan DUN Api-Api pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah hujung bulan ini.
Bercakap kepada media ketika mengumumkan calon parti itu semalam Christina berkata, dua daripada tujuh calon yang disenaraikan adalah muka baharu iaitu bekas Presiden Majlis Perbandaran Tawau Alijus Sipil yang akan bertanding di DUN Tamparuli dan Peto Galim di DUN Inanam.
“Empat lagi calon lain yang akan bertanding di DUN Klias, Tampasuk, Matunggong dan Sook adalah pemimpin senior dalam PKR Sabah dan mereka pernah bertanding di kerusi berkenaan semasa pilihan raya lepas,” katanya di sini semalam.
Christina berkata, pemilihan calon berkenaan dilakukan melalui beberapa proses termasuk memilih calon yang boleh menang dan dikenali rakyat di kawasan masing-masing.
“Calon yang dipilih perlu bekerja keras dan saya harap calon yang tidak dipilih membantu dan bekerjasama untuk pastikan calon bertanding menang.
“Selepas ini saya akan berjumpa dengan seluruh cabang PKR di Sabah untuk memastikan mereka sama-sama bekerja membantu calon daripada parti sekutu kita iaitu Parti Warisan Sabah (Warisan), DAP dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO),” tambahnya. – Bernama