
MIRI: Rumah kosong dua tingkat di Kampung 1 Malaysia Long Lapok, Jalan Beluru musnah hampir keseluruhan dalam satu insiden kebakaran lewat malam tadi.
Menurut laporan Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, panggilan kecemasan diterima pada 10.50 malam.
Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lopeng bergegas ke lokasi yang terletak kira-kira 110 kilometer (KM) dari balai sebelum tiba pada 12.47 pagi.
Komander Operasi, PBK I Rorudi Umas memaklumkan bahawa kebakaran melibatkan rumah kayu tidak berpenghuni berkeluasan 60×20 kaki.
Kebakaran dipercayai telah memusnahkan kira-kira 80 peratus keseluruhan rumah.
Tiada mangsa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian tersebut.
Operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran salur bantu mula sebelum kebakaran berjaya dikawal pada12.50 pagi dan ditamatkan sepenuhnya pada 1.18 pagi.
Seramai sembilan anggota bersama jentera FRT dan EMRS terlibat dalam operasi ini.
Turut berada di lokasi ialah pihak polis dan Syarikat Sesco Berhad (Sesco) bagi tindakan lanjut.
Punca kebakaran masih dalam siasatan.
Oleh Adum Liu