KOTA KINABALU: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengadakan perjumpaan dengan pemimpin daripada Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) di sini semalam.
Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu tiba pada 10.35 pagi, disambut oleh pemimpin-pemimpin berkenaan, sebelum beliau mengadakan mesyuarat tertutup dengan lebih 20 pemimpin, dan perjumpaan masih berlangsung ketika berita ini ditulis.
Antara yang hadir Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Presiden UMNO, Presiden STAR Datuk Dr Jeffrey Kitingan, Presiden SAPP Datuk Yong Teck Lee, Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Timbalan Presiden PBRS Arthur Joseph Kurup dan Setiausaha Agong PBS Datuk Jahid Jahim.
Turut hadir Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah dan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah Datuk Hajiji Noor.
PRN Sabah bakal menyaksikan pertandingan bagi merebut 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan hari ini sebagai hari penamaan calon dan 26 September ini sebagai hari mengundi.- Bernama