



KUCHING: Lebih 1,000 pegawai dan anggota polis dari Sarawak yang ditugaskan membantu kawalan keselamatan sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 diingatkan tidak bertindak balas terhadap sebarang provokasi.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata suasana kempen pilihan raya yang biasanya agak panas memerlukan anggota bertugas mengawal emosi dan mengelakkan tindakan reaktif.
“Sentiasalah bertindak berdasarkan undang-undang serta arahan operasi. Setiap inci tindakan anggota polis diperhatikan masyarakat, justeru profesionalisme perlu dikekalkan pada setiap masa,” katanya semasa majlis pelepasan bantuan sumber manusia sempena PRN Sabah di IPK Sarawak di sini hari ini.
Beliau berkata sebanyak 903 pegawai dan anggota polis dari Kontinjen Sarawak berlepas ke Sabah hari ini bagi memastikan perjalanan pilihan raya berjalan lancar, teratur dan bebas daripada sebarang masalah.
“Jumlah keseluruhan anggota yang digerakkan ke Sabah adalah 1,031 orang, sebahagian anggota sudah pun berada di Sabah manakala selebihnya berlepas hari ini.
“Semua pegawai dan anggota terbabit telah mengikuti taklimat dan latihan berkaitan undang-undang, prosedur operasi standard (SOP) pilihan raya serta tugasan keselamatan, selaras dengan amalan setiap kali penugasan PRN,” katanya.- Bernama