

SHENZHEN (China): Sekurang-kurangnya 13 orang maut dalam kebakaran besar di kompleks kediaman membabitkan tujuh blok pangsapuri 32 tingkat di Hong Kong, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) pada Rabu, memetik pihak berkuasa.
Seramai 15 lagi dilaporkan cedera, menurut beberapa laporan media.
Pihak berkuasa mengklasifikasikan kebakaran yang berlaku pada waktu petang di kompleks kediaman Wang Fuk Court di daerah Tai Po sebagai kecemasan tahap 5, iaitu tahap amaran tertinggi
Seorang anggota bomba antara yang maut. Kerajaan Hong Kong mengesahkan lelaki berusia 37 tahun itu ditemui tidak sedarkan diri di lokasi dan dibawa ke hospital dan kemudian meninggal dunia akibat kecederaan.
Api memusnahkan tujuh blok pangsapuri di kompleks berkenaan, menyebabkan penduduk terperangkap di kediaman masing-masing.
Kompleks itu terdiri daripada lapan blok pangsapuri, setiap satu mempunyai 32 tingkat dan hampir 2,000 unit kediaman.
Menurut laporan, kesemua bangunan itu dipasang perancah buluh bagi kerja pengubahsuaian.
Foto dan video dari lokasi menunjukkan kepulan asap tebal naik dari menara kediaman itu
Akhbar South China Morning Post melaporkan lebih 760 anggota bomba dan 400 pegawai polis dikerahkan, manakala lebih 700 individu mendapatkan perlindungan di pusat penempatan kecemasan.
Dahulu merupakan tanah jajahan British, Hong Kong kini ditadbir sebagai satu daripada dua wilayah pentadbiran khas China bersama Macau.- Bernama-dpa