

ROBAN: Jalan alternatif bagi memberi kemudahan dan keselesaan kepada penduduk di Rumah Sait Jelupang, Rumah Anta, Rumah Ali, Rumah Luna serta Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Nyiar Roban akan dilaksanakan melalui peruntukan Program Transformasi Luar Bandar (RTP).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, pembinaan laluan itu penting bagi memastikan penduduk mempunyai akses lebih selamat dan teratur, khususnya ketika musim hujan yang sering menyebabkan jalan utama dinaiki air.
Menurut beliau, kelewatan pergerakan penduduk dan pelajar sering berlaku apabila hujan lebat menenggelamkan laluan utama, sekali gus menjejaskan aktiviti harian masyarakat setempat.
Dalam pada itu, Timbalan Ketua Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Kalaka, Kaunselor Kasdi Pandi telah mewakili ADUN Kalaka bagi menyerahkan tapak projek RTP menaik taraf jalan ban sebagai laluan alternatif untuk kegunaan penduduk di empat rumah panjang berkenaan.
Katanya, projek berkenaan dijangka dilaksanakan pada tahun ini dan diharap dapat memberi manfaat jangka panjang kepada lebih ramai penduduk kawasan Sungai Nyiar.
“Justeru, melalui peruntukan RTP, jalan ban ini akan dinaik taraf sepenuhnya bagi memastikan perjalanan penduduk tidak lagi terganggu setiap kali berlaku hujan lebat,” katanya.
Beliau turut menambah bahawa usaha menaik taraf infrastruktur luar bandar merupakan komitmen berterusan kerajaan negeri bagi memastikan tiada komuniti yang tercicir daripada pembangunan.
Majlis Daerah Saratok akan bertindak sebagai agensi pelaksana projek dan akan memantau kemajuan kerja sehingga siap sepenuhnya.
Oleh Adi Safarman