


KEMALANGAN….Kemalangan berlaku di kawasan lot kedai, Jalan Masjid Lama, hari ini. Foto IPD Sarikei
SARIKEI: Ketua Polis Daerah (KPD) Sarikei, Superintenden Aswandy Anis, mengesahkan pihaknya menerima maklumat pagi tadi mengenai kejadian sebuah kereta yang mengundur laju sebelum merempuh tiang bangunan di kawasan lot kedai, Jalan Masjid Lama.
Katanya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila pemandu kereta jenis Toyota Vios, seorang lelaki, 39, sedang mengundur keluar dari petak parkir, namun tayar hadapan kereta tersebut tersangkut pada simen penghadang jalan.
“Keadaan itu menyebabkan dia menekan pedal minyak dengan kuat sehingga keretanya mengundur dengan laju.
“Akibat dari itu, kereta tersebut telah melanggar tiang bangunan kedai kedai Sports Toto,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Tambahnya, tiada kemalangan jiwa dilaporkan, namun kereta tersebut mengalami kerosakan teruk pada bahagian belakang.
“Tiang bangunan kedai juga mengalami kerosakan akibat pelanggaran itu.
“Kemalangan ini disiasat di bawah Rule 10 LN 166/59 (Kaedah-Kaedah Lalu Lintas).
“Mana-mana pihak yang mempunyai maklumat kejadian diminta berhubung dengan Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Ahmad Mustaqim di talian 010-4427240,” katanya.
Aswandy turut menasihati pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang semasa memandu di jalan raya.
Oleh Earl Anek