
LIMBANG: Seorang lelaki warga emas antara dua individu yang dicekup kerana terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah menerusi Ops Bersepadu di daerah ini semalam.
Ketua Polis Daerah Limbang Superintenden Parum Niot berkata suspek warga emas berusia 63 tahun yang bekerja sebagai buruh binaan ditahan dalam serbuan pada jam 2 petang di kawasan Kampung Limpaki Limbang.
“Hasil pemeriksaan kita merampas satu peket plastik lut sinar berisi dadah disyaki jenis syabu beranggaran berat 0.20 gram,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod lampau dan dipercayai mula terlibat dalam aktiviti penagihan dadah sejak awal tahun ini.
Sementara itu dalam serbuan berasingan, seorang buruh binaan berusia 49, ditahan kerana positif dadah dalam serbuan jam 1.20 petang di Kawasan Jalan Sungai Bangkita Limbang.
“Hasil semakan mendapati suspek mempunyai satu rekod dadah dikehendaki pada 2021 dan suspek dipercayai terlibat dalam aktiviti penagihan dadah sejak 2021,”katanya.
Hasil ujian saringan awal air kencing ke atas kedua-dua suspek didapati positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
Kes akan disiasat dibawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.
Oleh ADENG EDRUS