Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • HIBURAN
  • Pelakon veteran Korea Selatan Lee Soon-Jae meninggal dunia pada usia 91 tahun
  • HIBURAN

Pelakon veteran Korea Selatan Lee Soon-Jae meninggal dunia pada usia 91 tahun

Utusan Sarawak 4 hours ago
PELAKON veteran Korea Selatan, Lee Soon-jae, meninggal dunia pada usia 91 tahun selepas tujuh dekad mengabdikan diri dalam dunia lakonan. Foto AGENSI

SEOUL: Lee Soon-jae, antara pelakon Korea Selatan yang paling disayangi dan prolifik dengan kerjaya tujuh dekad yang dicirikan oleh semangat yang tidak pernah pudar, meninggal dunia pada Selasa pada usia 91 tahun, menurut keluarganya, lapor Agensi Berita Yonhap.

Lee, yang aktif dalam kerjaya lakonannya sehingga lewat tahun lepas, dikenali merentasi generasi melalui peranannya dalam drama, sitkom dan karya sejarah.

Dilahirkan pada 1934 di Hoeryong, yang kini terletak di Korea Utara, Lee berpindah ke Seoul pada usia empat tahun sebelum Perang Korea 1950-1953.

Lee mula berlakon ketika menuntut di Universiti Kebangsaan Seoul, membuat debutnya melalui pementasan Beyond the Horizon pada 1956.

Beliau kemudian membina kerjaya yang prolifik, dengan penglibatan meluas dalam drama televisyen, filem dan teater.

Lee meraih pengiktirafan meluas menerusi wataknya sebagai seorang bapa autoritarian dan tegas dalam drama hit MBC pada 1991, What on Earth is Love.

Kemasyhuran yang diperolehnya melalui siri itu membawanya seketika ke dunia politik dan beliau dipilih sebagai ahli parlimen bagi Parti Liberal Demokratik yang ketika itu adalah parti pemerintah pada 1992.

Walaupun berkhidmat di Perhimpunan Kebangsaan beliau tetap meneruskan kerjaya lakonan, membintangi pelbagai siri TV.

Selepas bersara daripada politik pada 1996, beliau kembali memberi tumpuan kepada lakonan dengan penuh komitmen, muncul dalam pelbagai drama daripada karya sejarah hingga komedi moden.

Kemuncak peranan utama keduanya hadir pada 2006 apabila beliau membawakan watak seorang doktor klinik perubatan tradisional Korea yang eksentrik tetapi bersahaja dalam sitkom popular MBC High Kick! (2006) dan High Kick Through the Roof (2009), sekali gus membebaskannya daripada imej tegas yang sebelumnya sinonim dengannya.

Peranan itu membantunya membina imej lebih mesra dan mudah didekati dalam kalangan penonton muda, yang menjadi demografi utama rancangan itu.

Pada 2021, ketika berusia 87 tahun, beliau menerima tepukan gemuruh apabila membawa watak utama dalam pementasan Shakespeare, King Lear, selama lebih tiga jam.

Lee bagaimanapun menarik diri daripada beberapa peranan pada Oktober tahun lepas disebabkan masalah kesihatan.

Beliau menjadi penerima paling tua yang menerima anugerah di Anugerah Drama KBS pada 2024.

Dalam satu temu bual pada 2016 bersama Agensi Berita Yonhap, pelakon itu berkata, “Lakonan, sebagai perbuatan seni ciptaan, tidak mempunyai titik akhir dalam kehidupan seseorang dan tidak akan pernah benar-benar lengkap.”- Bernama-Yonhap

Continue Reading

Previous: Hatta Dolmat rai kekuatan wanita melalui koleksi “The Quiet Power”

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.