
PETRA JAYA: Elaun untuk ahli majlis (konselar) serta Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) dinaikkan.
Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata kerajaan telah melaksanakan semakan terhadap ganjaran dan faedah yang diberikan kepada 864 ahli majlis yang berkhidmat dalam 27 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh Sarawak.
Susulan semakan ini, beliau mengumumkan perkara berikut:
a) Elaun Tetap Bulanan Khas
Elaun Tetap Bulanan Khas bagi semua Ahli Majlis akan ditingkatkan daripada RM300 kepada RM1,000. Penyesuaian ini akan dilaksanakan secara seragam di semua 27 Pihak Berkuasa Tempatan.
b) Faedah Perubatan Tambahan
Sebagai tambahan kepada kelayakan sedia ada untuk menerima rawatan di fasiliti kerajaan, Ahli Majlis kini akan diberikan faedah perubatan sebanyak RM1,000 setahun bagi rawatan asas di hospital atau klinik swasta yang diiktiraf oleh Kerajaan.
“Kadar baharu elaun dan faedah perubatan ini akan melibatkan implikasi kewangan tambahan sebanyak RM8.1 juta setahun, dan akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026,” katanya ketika membentang Belanjawan 2026 di sidang DUN hari ini.
Abang Johari berkata Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) merupakan tunjang tadbir urus peringkat akar umbi di Sarawak.
Katanya, dengan lebih 7,700 pemimpin dilantik, termasuk Temenggong, Pemanca, Penghulu dan Ketua Kaum, mereka memainkan peranan penting sebagai penghubung antara kerajaan dan rakyat.
“Mereka dipertanggungjawabkan untuk mengekalkan keharmonian sosial, menyelesaikan pertikaian tempatan dan menyokong pelaksanaan dasar kerajaan di peringkat komuniti.
“Pelarasan terakhir terhadap imbuhan mereka dibuat pada 2018, dengan kenaikan sebanyak RM100. Sejak itu, kos sara hidup terus meningkat dan skop tanggungjawab KMKK telah bertambah dengan ketara.
“Sebagai pengiktirafan terhadap perkhidmatan dan tanggungjawab mereka yang berkembang, saya dengan sukacitanya mengumumkan kenaikan RM400 dalam imbuhan bulanan KMKK, melibatkan peruntukan tambahan sebanyak RM37 juta setahun, berkuat kuasa 1 Januari 2026,” katanya.