
MIRI: Ilmu pengetahuan menjadi asas penting dalam membentuk generasi berdaya saing serta memacu kemajuan negara, kata Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man.
“Dalam dunia yang berubah pantas, pelajar bukan sahaja perlu cemerlang dalam akademik, tetapi juga memiliki sahsiah terpuji, kemahiran insaniah serta nilai patriotik yang tinggi,” katanya.
Chiew berkata demikian ketika berucap pada Majlis Gemilang Ilmu Tingkatan 5 SMK Dato Permaisuri, di sini, hari ini.
Menurut beliau, majlis bertemakan ‘Memacu Keunggulan Sistem dan Transformasi Digital’ itu bukan sekadar acara tahunan, sebaliknya platform menyuntik semangat dan membina jati diri pelajar sebagai bakal pemimpin masa depan.

Beliau turut menegaskan komitmen Kerajaan MADANI dalam memperkukuh sistem pendidikan melalui penambahbaikan infrastruktur, kemudahan digital, makmal sains serta memastikan persekitaran sekolah yang selamat dan kondusif, bebas daripada gejala negatif seperti buli dan vandalisme.
Chiew merakamkan penghargaan kepada warga pendidik serta ibubapa atas sokongan berterusan dalam membentuk kejayaan pelajar, sambil menekankan bahawa kecemerlangan lahir daripada kerjasama erat antara sekolah, keluarga dan komuniti.
Beliau menggesa calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) supaya memanfaatkan baki masa dengan sebaiknya dan memberikan komitmen penuh.
“Saya tidak meminta semua mendapat A, tetapi berusahalah sedaya upaya. Jadilah lebih baik daripada sebelum ini kerana usaha itulah yang menentukan masa depan,” ujarnya.
Beliau berharap Majlis Gemilang Ilmu ini menjadi pemangkin kepada pelajar Tingkatan 5 untuk melangkah ke alam dewasa dengan lebih yakin, berdisiplin dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.
Oleh Liong Chai Ling