


DITEMUI RENTUNG …Seorang individu yang belum dikenali pasti indentiti ditemui rentung dalam sebuah kereta yang musnah terbakar di Jalan Temenggong Datuk Oyong Lawai, di Miri awal pagi tadi. Foto BBP Miri
MIRI: Seorang individu ditemui rentung di bahagian tempat duduk hadapan sebuah kereta yang hangus terbakar dalam kejadian di Jalan Temenggong Datuk Oyong Lawai, di sini, awal pagi tadi.
Menurut Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 3.39 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Miri dikerahkan ke lokasi.
“Setibanya pasukan di tempat kejadian, didapati sebuah kenderaan sedang marak terbakar dan telah musnah 100 peratus.
“Pasukan menjalankan penilaian awal dan mengarahkan satu aliran salur bantu mula menggunakan sumber air daripada tangki jentera bagi memadam kebakaran sehingga api berjaya dipadam sepenuhnya.
“Selepas kebakaran berjaya dikawal, seorang mangsa ditemui dalam kenderaan berkenaan dalam keadaan rentung, namun jantina serta identiti masih belum dikenal pasti,” katanya.
Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan dan siasatan lanjut.
Punca kejadian masih dalam siasatan.