Pil ecstasy seberat 1,908 gram dengan nilai rampasan RM318,000 berjaya ditumpaskan.
KUCHING: Tindakan pantas Cawangan Narkotik Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kuching berjaya menumpaskan cubaan menyeludup dadah jenis pil ecstasy seberat 1,908 gram dengan nilai rampasan RM318,000 dalam operasi di sebuah syarikat kurier di Jalan Datuk Tawi Sli di sini.
Kejayaan itu dicapai pada 27 Oktober lalu kira-kira jam 2.00 petang apabila sepasukan pegawai JKDM yang menjalankan pemeriksaan rutin menemui satu bungkusan mencurigakan di ruang barangan tidak dituntut.
Pemeriksaan rapi kemudian menemukan 6,360 biji pil itu yang disorok bagi mengaburi pihak berkuasa.
Dadah tersebut disenaraikan sebagai bahan terlarang di bawah Bahagian I, Jadual Pertama Akta Dadah Berbahaya 1952, dan kes kini masih dalam siasatan pihak Kastam.
Menurut JKDM, sindiket dipercayai menggunakan perkhidmatan kurier melalui penghantaran darat serta maklumat penerima palsu sebagai modus operandi untuk mengelakkan aktiviti mereka dikesan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup, dan jika pesalah dijatuhi hukuman penjara seumur hidup, hukuman tambahan tidak kurang 15 sebatan turut dikenakan.
JKDM dalam pada itu menyeru orang ramai terus membantu membanteras penyeludupan seperti rokok, minuman keras, mercun, dadah dan kenderaan yang bukan sahaja merugikan negara malah mengancam keselamatan rakyat.
Maklumat boleh disalurkan melalui Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau pejabat Kastam berhampiran, dengan jaminan bahawa identiti pemberi maklumat dirahsiakan.