


SUSPEK JENAYAH…Suspek yang ditahan berkaitan kes khianat dan dadah di Lawas.
LAWAS: Polis menahan seorang lelaki berusia 37 tahun di rumahnya di Merapok semalam selepas disyaki terlibat dalam kes khianat yang menyebabkan dua kereta terbakar.
Ketua Polis Daerah Lawas, DSP Liong Tindan, berkata suspek ditangkap pada 9.30 pagi. Pemeriksaan di rumah suspek menemui sebilah pedang, selaras senapang patah, 10 butir peluru dan 8 kelongsong peluru. Semua barang itu dirampas untuk siasatan lanjut.
“Suspek, yang juga adik ipar mangsa, dipercayai bertindak membakar kereta milik abang iparnya kerana marah selepas ditegur ahli keluarga,” katanya.

Ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine. Kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan (khianat dengan api), Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958, dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dalam operasi berasingan, seorang lelaki tempatan berusia 57 tahun ditahan di tepi jalan Punang Lawas pada 3.10 petang, selepas disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah. Polis merampas dua keratan tiub kristal syabu seberat 2.20 gram.

Seorang lagi lelaki berusia 31 tahun ditahan pada 3.30 petang di Jalan Punang setelah ujian air kencing positif amphetamine dan methamphetamine. Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.
Oleh Adeng Edrus