Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • GLOBAL
  • Komet 3I/ATLAS tidak hentam Bumi – NASA
  • GLOBAL

Komet 3I/ATLAS tidak hentam Bumi – NASA

Utusan Sarawak 5 hours ago
IMEJ NASA yang diperoleh pada 19 November 2025 ini menunjukkan komet antara bintang 3I/ATLAS, dilingkari di bahagian tengah, seperti yang dirakam oleh kamera hitam putih L’LORRI pada kapal angkasa Lucy milik NASA. Foto AFP

WASHINGTON: Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) pada Rabu menegaskan bahawa Komet 3I/ATLAS tidak akan menghampiri Bumi atau mana-mana planet lain dalam sistem suria, lapor Sputnik/RIA Novosti.

“Tidak, itu tidak akan berlaku… Semua yang berada dalam sistem suria kita akan baik-baik saja,” kata Nicky Fox, pentadbir bersekutu di Direktorat Misi Sains NASA, ketika ditanya sama ada komet itu mungkin melintasi berhampiran mana-mana planet.

Pemangku Pengarah Bahagian Astrofizik NASA, Shawn Domagal-Goldman menjelaskan bahawa gas dan habuk yang terhasil ketika komet meruap, bertindak seperti dorongan kecil ibarat enjin roket mini yang mengubah haluan komet.

Beliau berkata hal itu lazimnya menyebabkan perubahan kecil pada orbit komet dan keadaan ini sedang dipantau rapi.

IMEJ NASA yang diperoleh pada 19 November 2025 ini menunjukkan versi beranotasi — lengkap dengan laluan trajektori dan skala — bagi komet antara bintang 3I/ATLAS, yang dirakam oleh kamera High Resolution Imaging Science Experiment (HiRISE) pada kapal angkasa Mars Reconnaissance Orbiter milik NASA pada 2 Oktober 2025. Foto AFP

3I/ATLAS mula dapat dilihat dari Bumi pada awal November. Beberapa media asing turut membuat spekulasi bahawa komet itu mungkin kapal angkasa makhluk asing.

Teleskop Angkasa Hubble merakam imej komet berkenaan pada 21 Julai ketika ia berada 279 juta batu dari Bumi, menurut NASA.

Sementara itu, Agensi Akhbar Jerman (dpa) melaporkan bahawa NASA pada Rabu mengeluarkan imej Komet 3I/ATLAS, objek ketiga yang dikenal pasti memasuki sistem suria.

Imej komet berkenaan dihasilkan melalui pemprosesan data dan gabungan imej teleskop dari September hingga Oktober, menurut NASA.

Imej itu menunjukkan satu tompokan cahaya kabur kecil.

“Ingat, ruang angkasa itu sangat luas. Tiada apa yang benar-benar sedekat yang kita fikirkan dan semua pemerhatian ini amat sukar dilakukan,” kata Tom Statler dari NASA pada sidang media ketika imej itu dibentangkan.

Statler berkata komet itu melintasi dalam jarak 32 juta kilometer dari Marikh pada awal Oktober, “memberi peluang kepada kapal angkasa kita di Marikh untuk membuat pemerhatian dekat.”

Setakat ini, tidak banyak yang diketahui tentang objek itu yang bergerak pada kelajuan 209,000 kilometer sejam merentasi sistem suria.

Komet itu dijangka membuat lintasan terdekat dengan Bumi pada 19 Disember, kira-kira 270 juta kilometer dari planet kita.

Sebagai perbandingan, jarak purata antara Bumi dan matahari adalah sekitar 150 juta kilometer.

Pakar menegaskan objek itu tidak menimbulkan sebarang ancaman. – Bernama

Tags: Global

Continue Reading

Previous: 16 maut, ribuan rumah tenggelam akibat banjir melanda Vietnam tengah
Next: Peserta Miss Universe terjatuh dari pentas

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.