
KIGALI (Rwanda): Kira-kira 70 orang dilaporkan hilang selepas sebuah bot terbalik di sebatang sungai di Wilayah Kasai, Republik Demokratik Congo, lapor Anadolu Agensi memetik media tempatan pada Rabu.
Bot itu dilaporkan dalam perjalanan ke ibu negara Kinshasa dari pelabuhan Bena Dibele, lebih 800 kilometer dari lokasi kejadian, sebelum karam pada Isnin di Sungai Sankuru, menurut radio Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Bot itu membawa kira-kira 120 orang. Setakat ini 50 orang berjaya diselamatkan dan usaha mencari mereka yang hilang masih diteruskan,” menurut laporan itu, memetik pentadbir tempatan Francois Ahoka.
Ahoka turut menekankan kesukaran yang dihadapi pasukan penyelamat dan menggesa keluarga supaya terus berhubung dengan pihak berkuasa tempatan bagi tujuan mengenal pasti mangsa terselamat dan mayat yang dijumpai.- Bernama-Anadolu