
KUCHING: Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu mengesahkan bahawa polis telah menerima satu laporan berhubung penipuan panggilan telefon dalam talian yang menyebabkan seorang wanita tempatan berusia 75 tahun kerugian sebanyak RM706,000.
Menurut Alexson, kejadian bermula pada 28 Ogos apabila mangsa, yang berada di rumah, menerima panggilan daripada seorang individu tidak dikenali menggunakan nombor 016-9934728 yang mendakwa dirinya daripada NSRC dan memperkenalkan diri sebagai Sjn Chong.
Pemanggil berkenaan mendakwa kad pengenalan mangsa telah digunakan dalam aktiviti jenayah melibatkan penipuan dan penerimaan dana haram.
Beliau berkata mangsa menafikan dakwaan tersebut sebelum panggilan itu disambungkan ke nombor lain, 019-7963249, milik seorang individu yang dikenali sebagai Tuan Ling.
Mangsa kemudian dihubungi melalui WhatsApp, di mana suspek mengarahkan mangsa memindahkan wang kononnya bagi tujuan siasatan oleh Bank Negara Malaysia.
Terperdaya dengan arahan itu, mangsa membuat dua transaksi ke dalam dua akaun syarikat berjumlah RM706,000.
Alexson berkata mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas menceritakan kejadian tersebut kepada seorang rakan yang menasihatkannya membuat laporan polis.
Sebagai rekod, Alexson memaklumkan bahawa dari 1 Januari hingga 19 November, sebanyak 93 kertas siasatan melibatkan modus operandi serupa telah dibuka oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Kuching, dengan jumlah kerugian mencecah RM6,671,575.50, termasuk kes terbaharu ini.
Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan dengan tidak jujur mendorong penyerahan harta, yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga sepuluh tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.
Oleh Connie Chieng