
LUBOK ANTU: Seorang lelaki berusia lewat 50-an dan seorang wanita lewat 20-an ditahan oleh Pasukan Tindakan Khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lubok Antu dalam satu operasi khas memerangi penyalahgunaan dadah, semalam.
Menurut kenyataan IPD Lubok Antu, serbuan yang diketuai Inspektor Harper Kenol itu dilaksanakan menerusi Op Tapis Khas di sebuah rumah tidak bernombor di kawasan Batu Angus, Engkilili.
Hasil pemeriksaan ke atas suspek lelaki tempatan membawa kepada penemuan tujuh paket plastik lutsinar mengandungi ketulan kristal disyaki Methamphetamine dengan anggaran berat 8.45 gram.
Selain itu, ujian saringan air kencing yang dijalankan turut mendapati kedua-dua suspek positif Methamphetamine dan Amphetamine.
Siasatan lanjut turut mengesahkan kedua-dua suspek mempunyai beberapa rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah dan jenayah lain.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 39A(1) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah di kawasan masing-masing digesa menyalurkannya melalui Hotline Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman ditalian 012-208 7222) atau Hotline JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak (017-592 9211).
Oleh Adi Safarman