
ARSLANBAP, Kyrgyzstan: Bunyi geseran daun keemasan yang gugur bergema di hutan luar Arslanbob, di pergunungan Kyrgyzstan, saat penduduk tempatan tekun mencari kacang walnut, tradisi turun-temurun yang menjadi nadi ekonomi wilayah itu.
Namun hutan tersebut, yang merupakan belukar walnut liar terbesar di dunia, semakin merosot dari tahun ke tahun akibat ragutan ternakan berlebihan, pembalakan haram dan suhu yang kian meningkat.
“Hutan dulu begitu tebal, tetapi kini jelas semakin menipis,” kata Asel Alisheva, seorang pesara dari kampung itu secara rasmi dikenali sebagai Arslanbap yang telah mengutip walnut di sini selama berdekad-dekad.
Dahulu, dia takut untuk menjelajah jauh ke dalam hutan.

“Dulu mustahil untuk masuk jauh ke dalamnya. Kini, terlalu ramai orang,” katanya kepada AFP.
“Perubahannya ketara,” tambah wanita berusia 70 tahun itu sambil mengetuk walnut di sebuah khemah tepi jalan.
Penduduk tempatan telah mengutip kacang bercangkerang tebal itu sejak turun-temurun. Ia menjadi tunjang ekonomi dan simbol bagi wilayah Jalal-Abad.
“Tiada tempat lain di dunia yang mempunyai kepekatan hutan walnut semula jadi sebesar ini,” kata pakar perhutanan wilayah, Zakir Sarymsakov.
Beliau turut menekankan kepelbagaian spesies walnut di kawasan tersebut. Bagi penduduk, walnut adalah sumber kehidupan utama.
“Inilah cara kami mencari rezeki. Tiada cara lain, hanya walnut. Inilah cara kami menyara anak-anak,” kata Arno Narynbaeva, 53, yang telah mengutip walnut sejak kecil.
HASIL MEROSOT
Di pasar kampung yang sibuk, lelaki menyusun guni walnut, sementara wanita berniaga. Bagaimanapun, perniagaan tidak lagi sehebat dahulu, hasil tuaian baru-baru ini menurun.

“Pada 2000-an, kami menerima jumlah yang besar, sehingga 15 tan sehari. Sekarang kami dapat tiga hingga empat, dan ia semakin berkurang setiap tahun,” kata penjual Zhazgul Omurzakova.
“Iklim semakin panas dan kering setiap tahun, dan kualiti walnut merosot, isinya bertukar merah,” kata wanita berusia 47 tahun itu.
Isi walnut yang cerah lebih bernilai kerana faktor estetik memainkan peranan penting bagi pembuat pastri.
“Cuaca panas merosakkan walnut. Ia gugur, hangus dan menjadi hitam,” kata pengutip Narynbaeva.
“Kami tidak pernah melihat perkara ini berlaku sebelum ini.”

Menurut Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO), sebuah agensi iklim PBB, suhu purata di Asia Tengah telah meningkat sekitar 1.5°C sejak 1991, dua kali ganda purata global.
Kemarau yang semakin kerap akibat cuaca panas turut menjejaskan hutan walnut.
Penduduk cuba menangani masalah itu, termasuk dengan menyemai berjuta-juta pokok di tapak semaian hutan Arslanbob.
Kekurangan air, menjadi masalah kronik, turut menjejaskan usaha tersebut.
“Dalam dua hingga tiga tahun kebelakangan ini, tiada hujan dan cuaca menjadi panas,” kata pekerja tapak semaian, Temir Emirov.
“Tanah telah mengering dan rumput mati,” tambahnya.
“Anak pokok tidak menerima air selama sebulan dan bergantung pada kelembapan sendiri untuk hidup.”
RANCANGAN BESAR
Aktiviti manusia lain turut memberi kesan buruk kepada hutan.
“Oleh kerana kami tidak mempunyai kawasan ragut, ternakan menjadi masalah,” kata ketua renjer hutan, Ibragim Turgunbekov.

Herdan lembu yang bertambah banyak telah merosakkan tanah dan memakan pucuk muda. Tambahan pula, pembalakan haram berlaku kerana penduduk lebih memilih kayu daripada arang batu mahal menyebabkan hutan semakin menipis.
Turgunbekov mengeluarkan saman dan cuba meyakinkan petani supaya mengurangkan saiz kawanan lembu mereka.
Ada yang mahukan langkah lebih tegas, seperti mengenakan cukai ke atas ternakan berlebihan atau larangan kerajaan ke atas ragutan berhampiran penempatan.
Turgunbekov berkata, salah satu penyelesaian ialah meningkatkan potensi ekonomi walnut.
“Jika kita membuat minyak atau minyak wangi daripada walnut dan menghantarnya ke Eropah, nilainya akan meningkat,” katanya.
“Dengan menjual pada harga lebih tinggi, penduduk akan lebih bermotivasi dan menjaga hutan dengan lebih baik.”
Abdulaziz Khalmuradov, 16, adalah antara anak muda yang cuba berbuat demikian.
Selepas sekolah, dia membuat minyak walnut menggunakan alat tradisional.
“Saya mahu menambah bilangan mesin dan menghasilkan bukan sahaja minyak walnut, tetapi juga pelbagai jenis minyak lain seperti minyak aprikot,” katanya kepada AFP.
Dia juga mahu mengembangkan pelancongan lestari di wilayah itu.
“Pelancongan di Arslanbob kurang berkembang. Jika jumlah pelancong meningkat, hasil pun akan meningkat,” katanya. – AFP