
BATU NIAH: Jalan utama menuju ke pekan Batu Niah dilanda banjir kilat susulan hujan berterusan sejak 8.00 pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah, PBT II Rary Binjie ketika dihubungi memaklumkan bahawa paras air di kawasan berkenaan meningkat sehingga sekitar satu kaki.
Menurut beliau, pihak bomba akan ke lokasi menjalankan pemantauan rapi bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya sentiasa terjamin.
“Kawasan jalan tersebut setiap kali hujan turun pasti akan banjir. Walaupun hujan tidak lebat, keadaan tetap sama,” katanya.
Beliau menambah, punca sebenar banjir kilat belum dikenal pasti, namun dipercayai berpunca daripada sistem perparitan yang kurang baik atau kemungkinan terdapat saluran yang tersumbat.
Sementara itu, di Bekenu turut mengalami hujan lebat sejak awal pagi, namun setakat ini tiada laporan banjir kilat diterima di kawasan tersebut.
Oleh Adum Liu