Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • PENDIDIKAN
  • Kerjasama Sarawak–UBC tingkatkan pembangunan bakat, inovasi perlombongan hijau
  • PENDIDIKAN

Kerjasama Sarawak–UBC tingkatkan pembangunan bakat, inovasi perlombongan hijau

Utusan Sarawak 4 hours ago
KERJASAMA… Sarawak memperkukuh hubungan kerjasama strategik melalui lawatan rasmi delegasi Kementerian Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Sarawak (MUDeNR) serta Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) ke University of British Columbia (UBC). Foto UKAS

VANCOUVER, Kanada: Sarawak memperkukuh hubungan kerjasama strategik melalui lawatan rasmi delegasi Kementerian Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Sarawak (MUDeNR) serta Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) ke University of British Columbia (UBC), di sini.

Lawatan berkenaan bertujuan memperkukuh Sarawak dalam bidang pembangunan bakat, penyelidikan serta inovasi perlombongan dan pengkuarian hijau.

Ketua Pegawai Eksekutif CENTEXS, Dato’ Syeed Mohd Hussein Wan Abdul Rahman yang mengetuai delegasi berkenaan berkata, lawatan ini merupakan kesinambungan usaha Sarawak untuk mengukuhkan pembangunan sektor perlombongan hijau melalui teknologi terkini dan latihan bertauliah.

“Tujuan utama lawatan kali ini adalah untuk meneruskan usaha sejak tahun lalu apabila kami ke Kanada untuk meninjau potensi pembangunan ‘green mining’ bagi Sarawak.

“Alhamdulillah, kita telah berjaya membentuk kerjasama rapat dengan UBC dan MUDeNR dan melalui perjanjian ini kita telah menandatangani Deklarasi Kerjasama bersama UBC.

“Kita juga menerima sokongan yang sangat kuat daripada UBC untuk merangka program baharu di CENTEXS bagi keseluruhan sektor perlombongan, khususnya perlombongan hijau di Sarawak,” ujarnya.

Menurut beliau, UBC memiliki kepakaran penyelidikan yang mantap dalam teknologi perlombongan mampan termasuk pengurusan sisa lombong, proses kitar semula mineral, serta kajian penyelesaian peralihan teknologi masa hadapan seperti bateri EV dan lampu LED.

Dato’ Syeed turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dan menzahirkan keyakinan bahawa jalinan strategik ini akan membuka ruang kemajuan lebih besar kepada industri mineral Sarawak.

“Saya berharap pada 10 dan 11 Disember depan, pihak UBC akan datang ke Sarawak untuk menyertai acara kita. Ketika itu, UBC bersama CENTEXS dan MUDeNR akan menandatangani perjanjian komersial.

“Seterusnya pada Februari, atau sedikit lewat selepas itu, kita akan memeterai lagi kerjasama penting lain. Ini mungkin langkah kecil bagi CENTEXS, tetapi satu lonjakan besar buat Sarawak dan Malaysia,” katanya lagi.

Kerjasama ini merupakan kesinambungan pertemuan awal yang dipimpin Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan semasa melawat Bradshaw Research Institute for Minerals and Mining (BRIMM), UBC pada Jun 2024.

Bagi memenuhi keperluan tenaga kerja sektor perlombongan, CENTEXS dan MUDeNR sebelum ini telah melaksanakan Bengkel Pembangunan Bakat dan Tenaga Kerja Industri Mineral, melibatkan 127 peserta daripada 51 syarikat perlombongan dan kuari serta penyertaan Jaminan Kualiti Perisian (SQA), Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) Sarawak, Institut Kuari Malaysia (IQM), Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD), agensi kerajaan dan syarikat swasta.

Antara inisiatif susulan yang dirangka termasuk Bengkel Pembangunan Bakat dan Tenaga Kerja Industri Mineral serta pelancaran Akademi Perlombongan dan Kuari Hijau pada 10 hingga 11 Disember depan.

Selain itu, satu Memorandum Perjanjian (MoA) tiga pihak antara UBC, MUDeNR dan CENTEXS dijadual dimeterai pada Februari 2026.

Delegasi turut dibawa meninjau kemudahan kampus UBC dan berinteraksi dengan pasukan akademik universiti tersebut bagi memperkukuh pertukaran kepakaran, penyelidikan bersama, program akademik serta latihan profesional.

-UKAS

Tags: PENDIDIKAN

Continue Reading

Previous: Program Semarak Budaya Membaca perkasa minat membaca kanak-kanak
Next: Inisiatif pendidikan Sarawak bantu ringankan kos pengajian tinggi

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.