
KOTA KINABALU: Proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 bermula tepat pada 9.00 pagi ini di 25 pusat penamaan calon (PPC) di seluruh negeri.
Semua bakal calon yang bertanding bagi merebut 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) mempunyai tempoh sejam iaitu hingga 10.00 pagi untuk menyerahkan borang pencalonan sebelum Pegawai Pengurus Pilihan Raya (RO) mengumumkan senarai mereka yang layak bertanding.
Setelah pengesahan selesai, calon-calon yang bertanding dibenarkan memulakan kempen selama 14 hari seperti ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) iaitu hingga 11.59 malam 28 November.
SPR memaklumkan setakat Khamis, sebanyak 3,334 borang penamaan calon bagi PRN Sabah ke-17 telah dijual dengan 2,414 set melalui Pejabat Pilihan Raya Negeri (PPN) Sabah manakala 920 lagi menerusi Pejabat RO.
Tinjauan Bernama di beberapa PPC mendapati para penyokong sudah mula berkumpul seawal 6.00 pagi untuk memberikan sokongan kepada calon masing-masing.
Selain itu, pihak polis turut mengawal lalu lintas dan keadaan sekitar PPC bagi memastikan tiada kejadian tidak diingini berlaku dengan bantuan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).
Cuaca pagi ini dilaporkan baik di kebanyakan kawasan walaupun Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) semalam meramalkan hujan di beberapa tempat.
Mengikut statistik SPR, seramai 1,784,843 pengundi layak menunaikan tanggungjawab mereka pada PRN kali ini, merangkumi 1,760,417 pengundi biasa, 11,697 anggota tentera bersama pasangan dan 12,729 anggota polis berserta pasangan.
SPR menetapkan hari pengundian pada 29 November manakala undi awal pada 25 November.
Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php – Bernama