Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Perancis layak ke Piala Dunia ketika Portugal, Norway terpaksa menunggu
  • SUKAN

Perancis layak ke Piala Dunia ketika Portugal, Norway terpaksa menunggu

Utusan Sarawak 1 day ago
GOL separuh masa kedua oleh Kylian Mbappe (kiri) dan Michael Olise, serta jaringan antarabangsa pertama Hugo Ekitike, mengesahkan tempat Perancis ke Piala Dunia 2026. Foto AFP

PARIS: Perancis mara ke Piala Dunia 2026 selepas menewaskan Ukraine 4-0 awal pagi tadi ketika negara itu memperingati ulang tahun ke-10 serangan Paris 2015, manakala Portugal terpaksa menunggu selepas tewas 2-0 di Dublin apabila Cristiano Ronaldo dilayangkan kad merah.

Norway juga perlu bersabar selepas Itali menjaringkan gol lewat di Moldova untuk menghalang mereka daripada mengesahkan tiket ke kejohanan di Amerika Utara tahun depan.

Kemenangan Perancis hadir dalam suasana penuh emosi di Parc des Princes, yang mengadakan satu minit bertafakur bagi memperingati ulang tahun ke-10 serangan yang berlaku di dalam dan sekitar Paris pada Jumaat, 13 November 2015.

Sebahagian besar daripada 130 mangsa yang terbunuh berada di dewan konsert Bataclan di ibu kota, ketika menghadiri sebuah persembahan.

Seorang mangsa turut meninggal dunia berhampiran Stade de France di Saint-Denis, lokasi di mana beberapa letupan berlaku apabila pengebom bunuh diri cuba memasuki stadium ketika perlawanan persahabatan antara Les Bleus dan Jerman.

CRISTIANO Ronaldo (tengah) dilayangkan kad merah kerana menyiku pemain lawan. Foto AFP

Didier Deschamps merupakan jurulatih ketika itu dan masih memimpin pasukan sekarang, dengan Piala Dunia yang bakal menjelang ini menjadi kejohanan terakhir beliau sebelum melepaskan jawatan.

“Dalam konteks malam ini (awal pagi tadi) kami gembira dapat membawa sedikit senyuman dengan memastikan kelayakan,” kata Deschamps.

“Kami telah mencapai objektif. Saya faham ia dianggap sesuatu yang normal untuk Perancis layak, tetapi kami masih perlu melakukannya, jadi kami sangat bangga.”

Gol separuh masa kedua oleh Kylian Mbappe dan Michael Olise, serta jaringan antarabangsa pertama Hugo Ekitike, memberikan kelebihan enam mata yang tidak boleh dikejar kepada Perancis berbanding Iceland — yang menewaskan Azerbaijan 2-0 — dan Ukraine di puncak Kumpulan D.

Sementara Perancis kini boleh menantikan undian peringkat akhir yang berlangsung di Washington, DC pada 5 Disember, Ukraine dan Iceland akan berentap pada Ahad untuk menentukan siapa yang mara ke play-off pada Mac depan.

‘Sedih, kecewa’

Portugal boleh mengesahkan tempat teratas Kumpulan F dengan kemenangan ke atas Republik Ireland.

Namun kad merah Ronaldo kerana tindakan ganas ketika ketinggalan 2-0 selepas dua jaringan Troy Parrott bermakna Portugal kekal dengan 10 mata, tiga di belakang Ireland dan dua di belakang Hungary, yang menang 1-0 ke atas Armenia.

Perlawanan terakhir Portugal dalam kumpulan ialah menentang Armenia di Porto pada Ahad, manakala Hungary menjadi tuan rumah kepada Ireland dalam pertarungan yang berkemungkinan besar menentukan tempat kedua.

Parrott menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-17 sebelum menggandakan jaringan pada penghujung babak pertama.

Ireland kemudian bertahan habis-habisan untuk mengekang pasukan pilihan itu, yang semakin sukar bangkit apabila Ronaldo, 40, menghayunkan siku ke belakang Dara O’Shea dan dibuang padang selepas semakan VAR.

Ronaldo, penjaring terbanyak sepanjang zaman dalam bola sepak antarabangsa lelaki, mungkin terlepas permulaan Piala Dunia jika Portugal layak, bergantung pada tempoh penggantungan.

“Kami tidak berjaya (menang), kami sedih dan kecewa dengan apa yang berlaku hari ini,” kata pemain tengah Portugal, Bernardo Silva.

Dalam Kumpulan K, England yang sudah layak menewaskan Serbia 2-0 di Wembley menerusi jaringan duo Arsenal, Bukayo Saka dan Eberechi Eze, manakala Albania mengatasi Andorra 1-0 untuk mengesahkan tempat kedua. – AFP

Tags: Sukan

Continue Reading

Previous: Ronaldo dibuang padang, Ireland kejutkan Portugal dalam kelayakan Piala Dunia
Next: Masters Jepun: Sze Fei-Nur Izzudin ke separuh akhir

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.