
KUCHING: Seorang lelaki tempatan berusia 44 tahun mengalami kerugian sebanyak RM333,576 selepas menjadi mangsa skim pelaburan dalam talian tidak wujud yang dikenali sebagai Ginkgo-my.com, kata Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu.
Beliau berkata, mangsa telah menemui iklan pelaburan tersebut di Facebook pada 16 September ketika sedang bekerja dan tertarik dengan tawaran yang dikemukakan.
Mangsa kemudian mendaftar akaun pelaburan melalui laman web Ginkgo-my.com.
“Selepas itu, mangsa membuat bayaran ke enam akaun bank syarikat secara berperingkat melibatkan 26 transaksi pindahan wang dalam talian,” kata Alexson hari ini.
Beliau berkata, mangsa menyedari dirinya telah ditipu selepas gagal mengeluarkan keuntungan yang tertera dalam akaun pelaburannya di laman web berkenaan.
“Mangsa kemudian membuat laporan polis selepas menyedari telah diperdaya, menyebabkan kerugian keseluruhan sebanyak RM333,576,” tambahnya.
Menurut Alexson, dari 1 Januari hingga 12 November tahun ini, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Daerah Kuching telah merekodkan 101 kes seumpama itu dengan jumlah kerugian mencecah RM23,313,915.38.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan secara tidak jujur mendorong penyerahan harta, yang boleh dikenakan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun,sebat, dan denda jika disabitkan kesalahan.
Beliau turut menasihati orang ramai agar tidak mudah terperdaya dengan tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan tinggi serta menyemak kesahihan syarikat sebelum membuat sebarang pelaburan.
Oleh Connie Chieng