
SIBU: Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato Sri Tiong King Sing menyifatkan pemergian Tan Sri Tiong Hiew King sebagai satu kehilangan besar kepada masyarakat.
“Pemergian mendiang (Tan Sri Tiong Hiew King) merupakan satu kehilangan besar kepada masyarakat. Mendiang banyak berjasa dan menyumbang untuk kepentingan orang ramai,” katanya.
Tiong yang juga Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) berharap generasi muda menjadikan semangat dan keperibadian mendiang sebagai teladan untuk terus berbakti kepada masyarakat dan negeri.
Tokoh perniagaan terkemuka dan pengasas Kumpulan Rimbunan Hijau, mendiang Tan Sri Tiong Hiew King, dilaporkan meninggal dunia pada usia 95 tahun, semalam.
Difahamkan, mendiang menghembuskan nafas terakhir pada 11.00 pagi dan meninggalkan seorang balu, Ngu Yii Chuo, serta lima orang anak.

Anak sulungnya ialah Tiong Chiong Ong, manakala anak-anak perempuannya ialah Datuk Tiong Ing, Tiong Ching, Tiong Chiew dan Tiong Choon.
Sementara itu, seorang lagi anak lelaki mendiang, Tiong Chiong Hoo telah meninggal dunia pada 2020.
Dilahirkan di Sibu pada 1935, mendiang Tan Sri Tiong memulakan perniagaan dalam industri perhutanan pada tahun 1970-an sebelum mengembangkan empayarnya ke peringkat antarabangsa.
Menjelang 1990-an, mendiang muncul antara tokoh korporat paling berpengaruh di Malaysia dengan kepentingan dalam pelbagai sektor termasuk perladangan, hartanah, media dan telekomunikasi di Malaysia, Papua New Guinea, Rusia dan China.
Kumpulan yang diasaskannya, Rimbunan Hijau, kini mempunyai ratusan anak syarikat tersenarai dan tidak tersenarai.
Dalam bidang media, mendiang merupakan tokoh penting yang membina empayar penerbitan berbahasa Cina melalui syarikat Media Chinese International Ltd (MCIL).
Syarikat itu memiliki beberapa akhbar utama seperti Sin Chew Daily, China Press, Guang Ming Daily dan Nanyang Siang Pau di Malaysia serta, Ming Pao Daily News di Hong Kong.
Selain itu, mendiang turut mengawal tiga syarikat tersenarai di Bursa Malaysia iaitu Jaya Tiasa Holdings Bhd, Subur Tiasa Holdings Bhd, dan Rimbunan Sawit Bhd.
Menurut senarai terkini Forbes pada April lalu, beliau dan keluarganya berada di tangga ke-25 antara individu terkaya di Malaysia dengan anggaran kekayaan sebanyak AS$820 juta (RM3.5 bilion).
Oleh Akun Giman