
SIBU: Gereja Methodist Chiew Cho di sini menerima bantuan berjumlah RM60,000 daripada Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) bagi tujuan menaik taraf kemudahan tandas dan tempat letak kereta.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr Annuar Rapaee berkata, ini merupakan kali kedua gereja berkenaan menerima bantuan daripada UNIFOR selepas yang pertama sebanyak RM20,000 sebelum ini.
“UNIFOR banyak membantu rumah-rumah ibadat bukan Islam di seluruh Sarawak. Bantuan ini membolehkan mereka menaik taraf kemudahan sedia ada demi keselesaan para jemaah,” katanya selepas menyerahkan bantuan tersebut di Gereja Methodist Chiew Choo, hari ini.
Dr Annuar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka berkata, kerajaan Sarawak melalui UNIFOR terus komited menyalurkan bantuan kepada rumah ibadat bukan Islam di Sarawak bagi memastikan semua komuniti agama mendapat perhatian sewajarnya.
“UNIFOR sentiasa bersedia menilai permohonan baharu untuk menaik taraf atau memperbaiki kemudahan rumah ibadat bukan Islam. Pegawai mereka akan turun padang bagi membuat penilaian sebelum bantuan disalurkan,” ujarnya.
Beliau menegaskan, inisiatif itu mencerminkan keunikan Sarawak yang mengamalkan toleransi dan keharmonian antara agama melalui sokongan kerajaan terhadap semua rumah ibadat.
Oleh Akun Giman