
BINTANGOR: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Meradong melalui Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik telah melaksanakan Op Perdagangan semalam, kata Ketua Polis Daerah Meradong, DSP Tansli Mering.
Katanya, operasi tersebut memberi tumpuan kepada penguatkuasaan terhadap kenderaan perdagangan yang membawa muatan berlebihan, muatan berbahaya, serta lain-lain kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan.

“Hasil daripada operasi ini, pihak polis telah berjaya menahan sebuah kenderaan pacuan empat roda yang membawa muatan sawit dan sebuah lori balak yang membawa muatan secara berbahaya.
“Tindakan tersebut bukan sahaja melanggar undang-undang, malah boleh mendatangkan risiko kemalangan dan membahayakan keselamatan pengguna jalan raya yang lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, pihak polis akan terus mempergiatkan operasi seumpama ini dari semasa ke semasa bagi memastikan pemandu kenderaan perdagangan sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya.
Oleh Earl Anek