
SARIKEI: Rondaan pemantauan monsun timur laut (MTL) telah dijalankan oleh pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei di tebingan Sungai Rajang, pagi tadi.
Ketua BBP Sarikei, Arrahman Chik, berkata rondaan bermula sekitar 10.00 pagi.
“Dua anggota bomba bertugas menjalankan pemantauan di kawasan rendah berisiko banjir tersebut.
“Hasil pemantauan mendapati paras air sungai berada dalam keadaan stabil dengan trend air surut,” katanya ketika dihubungi.
Katanya, sepanjang rondaan pemantauan, tiada sebarang panggilan kecemasan diterima.
“Rondaan ini adalah sebahagian daripada langkah kesiapsiagaan pihak bomba bagi memastikan keadaan paras air di kawasan rendah berisiko banjir.
“Pihak kami sentiasa menjalankan pemantauan di kawasan berisiko termasuk tebing sungai utama bagi mengenal pasti sebarang potensi bahaya seperti kenaikan paras air secara mendadak,” katanya.
Oleh Earl Anek