
TAIPEI, Taiwan: Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) sekali lagi menyertai Pameran Pelancongan Antarabangsa Taipei (ITF) 2025 bagi mempromosikan Sarawak sebagai ‘Gateway to Borneo’ dan memperkenalkan keunikan negeri itu menerusi lima tonggak pelancongan utamanya, iaitu Budaya, Pengembaraan, Alam Semula Jadi, Makanan dan Festival (CANFF).
Penyertaan ini juga sebahagian daripada persiapan Malaysia menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (VMY 2026) dan pameran yang berlangsung di Nangang Exhibition Hall 1 itu menjadi platform penting bagi STB memperkukuh kehadiran Sarawak dalam pasaran Taiwan serta menjalin hubungan erat dengan pemain industri dan pengunjung dari rantau berkenaan.
Ketua Pegawai Eksekutif STB, Sharzede Datu Salleh Askor, berkata penyertaan itu memberi peluang untuk memperkenalkan kekayaan produk pelancongan Sarawak kepada pasaran Asia Utara yang semakin berkembang.

Beliau menegaskan bahawa Taiwan kekal sebagai salah satu pasaran utama bagi Sarawak, manakala ITF Taipei menjadi wadah penting bagi memperkukuh kerjasama dengan rakan niaga dan pelancong antarabangsa.
Menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026, Sarawak turut menampilkan keistimewaan negeri ini merangkumi keindahan alam semula jadi, keunikan budaya dan warisan masyarakat, keramahan rakyat serta komitmen terhadap pelancongan bertanggungjawab dan lestari.
Sepanjang pameran itu, pelawat diperkenalkan dengan pelbagai tarikan yang mencerminkan tonggak utama CANFF, daripada warisan budaya dan masyarakat peribumi, kehijauan hutan hujan tropika, panorama pengembaraan, festival yang meriah hingga kepada cita rasa gastronomi kreatif Sarawak.
Kerjasama STB bersama rakan pelancongan dari Taiwan seperti ComeBest Tour Co. Ltd, China Dragon Travel Service Co. Ltd, Happy Go Travel Co. Ltd serta Nami International Travel Agency Co. Ltd (Lamingo Tour) turut memperkukuh promosi pakej pelancongan ke Sarawak yang menumpukan kepada pengalaman warisan, komuniti dan alam semula jadi.

Penyertaan STB di ITF 2025 juga melengkapi usaha pemasaran lebih luas di Taiwan, termasuk penganjuran Seminar Jaringan Perniagaan bersama Royal Brunei Airlines Taiwan yang diadakan awal tahun ini di Taipei dan Hualien.
Melalui pendekatan berterusan ini, STB terus memperkukuh kerjasama industri, meningkatkan kehadiran Sarawak di pasaran antarabangsa serta menyokong matlamat pelancongan negara menjelang VMY 2026.
Dengan menggabungkan elemen pemasaran, penceritaan dan kelestarian di bawah tonggak CANFF, Sarawak terus menginspirasi pelancong dari Taiwan dan rantau lain untuk meneroka jantung Borneo, sebuah destinasi penuh budaya, pengembaraan, alam semula jadi, makanan dan festival yang sentiasa menawarkan ‘More to Discover’.
Oleh Norman B