
SARIKEI: Seramai 45 peserta terdiri daripada murid, guru dan kakitangan Briged Puteri Kompeni Pertama Sarikei telah menyertai lawatan sambil belajar dan ceramah keselamatan kebakaran di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei.
Ketua BBP Sarikei, Arrahman Chik, berkata program tersebut bermula dari 3.00 petang hingga 5.00 petang, baru-baru ini.
“Antara pengisian aktiviti yang dijalankan adalah sesi ceramah, latihan serta demonstrasi keselamatan kebakaran.
“Ia bertujuan memberi pendedahan awal mengenai langkah pencegahan dan tindakan semasa menghadapi kecemasan kebakaran,” katanya ketika dihubungi.


Katanya, program tersebut turut memberi peluang kepada peserta untuk memahami peranan bomba.
“Para peserta belajar kaedah penggunaan alat pemadam api dengan betul melalui demonstrasi yang dijalankan oleh pasukan bomba bertugas.
“Lawatan dan ceramah berjalan dengan lancar serta mendapat sambutan baik daripada semua peserta yang hadir,” katanya.
Oleh Earl Anek