Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • Desa Tamu dan SukmaRia Foodcourt pacu ekonomi komuniti di bawah DBKU
  • Selatan
  • WILAYAH

Desa Tamu dan SukmaRia Foodcourt pacu ekonomi komuniti di bawah DBKU

Utusan Sarawak 10 hours ago
DATUK Dr. Abdul Rahman Junaidi menyempurnakan perasmian pelancaran Tamu Desa Sukma Ria dan SukmaRia Foodcourt di Taman Sukma Ria, Petra Jaya, sambil disaksikan Datuk Bandar Kuching Utara, Dato Hilmy Othman dan tetamu kehormat lain.

PETRA JAYA: Dua inisiatif baharu di bawah seliaan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) iaitu Desa Tamu Sukma Ria dan SukmaRia Foodcourt kini menjadi mercu tanda baharu Petra Jaya yang menggabungkan semangat keusahawanan komuniti, kesukanan dan pelancongan bandar raya.

Kedua-dua projek itu dirasmikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi, sempena Hari DBKU Bersama Pelanggan 2025 di Taman Sukma Ria, hari ini.

Menurut beliau, projek berkenaan mencerminkan usaha DBKU memperkasa ekonomi komuniti melalui pembangunan bandar yang tersusun dan mesra rakyat.

“Desa Tamu Sukma Ria menempatkan 20 gerai makanan dan minuman dengan kemudahan moden, manakala tingkat atasnya menempatkan SukmaRia Foodcourt bertemakan sukan dengan peruntukan hampir RM1.9 juta,” katanya.

TINJAUAN SukmaRia Foodcourt yang menampilkan reka bentuk bertemakan sukan, diikuti dengan tinjauan terhadap gerai Tamu Desa Sukma Ria yang menyediakan pelbagai hidangan tempatan.

Tambahnya, kawasan Sukma Ria yang dibangunkan sejak 1995 kini diberi nafas baharu dengan konsep pelancongan komuniti dan gaya hidup sihat.

“Kedua-dua projek ini bukan sahaja menyediakan ruang niaga yang lebih kondusif untuk penjaja dan usahawan kecil, tetapi turut memperkenalkan konsep pelancongan komuniti berasaskan gaya hidup sihat dan semangat kesukanan,” katanya.

“SukmaRia bukan sekadar medan selera, tetapi simbol kepada semangat sukan dan perpaduan rakyat Kuching Utara. Ia membuktikan bagaimana tapak bersejarah boleh dihidupkan kembali untuk manfaat masyarakat dan pelancongan bandar,” ujar beliau.

SukmaRia Foodcourt diuruskan oleh Food Society di bawah kumpulan Rume Hotel & Kantin at the Granary, dengan konsep ‘From Sports Spirit to Food Culture’ yang menampilkan reka bentuk berinspirasikan sukan serta pelbagai pilihan makanan tempatan dan antarabangsa.

Sementara itu, Desa Tamu Sukma Ria pula menampilkan konsep pasar komuniti moden yang memberi ruang kepada penjaja tempatan memasarkan produk dan makanan dengan lebih tersusun dan bersih, seiring dengan matlamat DBKU menjadikan Petra Jaya sebagai kawasan niaga berdaya saing.

“Usaha DBKU ini mampu membuka lebih banyak peluang pekerjaan, menjana ekonomi setempat dan menjadikan Petra Jaya sebagai pusat komuniti yang aktif serta makmur,” tambahnya.

Beliau turut menyambut baik inisiatif DBKU yang merancang untuk memperindah kawasan tersebut dengan pembinaan arca mercu tanda SukmaRia serta penganjuran pelbagai program kesihatan, kebudayaan dan keusahawanan bersama komuniti.

Datuk Bandar Kuching Utara, Dato Hilmy Othman dalam ucapannya berkata program Hari DBKU Bersama Pelanggan menjadi platform penting bagi memperkukuh hubungan antara pihak berkuasa tempatan dan masyarakat, seiring visi DBKU menjadikan Kuching Utara bandar raya yang bersih, indah dan sejahtera.

Program berkenaan turut disertai pelbagai agensi kerajaan, usahawan tempatan serta penduduk sekitar Petra Jaya melalui pameran perkhidmatan, aktiviti interaktif dan sesi libat urus bersama pelanggan DBKU.

Turut hadir pada majlis tersebut, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.

Oleh Shikin Mahmud

Continue Reading

Previous: Projek RADDA, RTP bukti keprihatinan kerajaan Sarawak perkukuh pembangunan luar bandar
Next: APM Spaoh tangkap ular emas lima kaki di bumbung rumah Kampung Bungin

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.