
KANOWIT: Para pelajar digesa agar sentiasa menghargai jasa guru dan ibu bapa serta mendapatkan restu mereka sebagai kunci keberkatan ilmu menjelang peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah, Anyi Jana berkata, kejayaan seseorang pelajar tidak hanya diukur berdasarkan keputusan cemerlang di atas kertas, tetapi juga pada keupayaan menjadi insan yang berilmu, berakhlak dan berguna kepada masyarakat serta negara.
“Restu dan doa guru serta ibu bapa adalah kunci keberkatan ilmu. Guru dan pelajar sebenarnya berjuang bersama untuk meningkatkan pencapaian sama ada melalui penambahan markah atau penambahbaikan gred mata pelajaran,” katanya semasa berucap pada Majlis Restu Ilmu SMK Nanga Dap di sini, baru-baru ini.
Menurut Anyi, seramai 55 calon SPM dari sekolah berkenaan akan menduduki peperiksaan tahun ini dengan ujian bertutur Bahasa Melayu telah bermula pada 3 November, diikuti ujian bertutur Bahasa Inggeris, ujian amali dan ujian mendengar, manakala ujian bertulis dijadualkan bermula pada 25 November ini.
“Kejayaan tidak datang bergolek. Ia menuntut usaha gigih, disiplin, doa dan keikhlasan hati. Inilah masa untuk membuktikan segala ilmu dan bimbingan guru selama ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua guru atas usaha mendidik pelajar dengan penuh dedikasi serta mengumumkan sumbangan insentif sebanyak RM50 seorang kepada calon SPM sebagai galakan untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan.
“Ini insentif ikhlas daripada saya untuk para pelajar. Anda tidak perlu bayar apa-apa. Saya harap anda semua akan mengingati pesanan ini dan berusaha sebaik mungkin,” katanya.
Selain itu, beliau turut mengumumkan insentif tambahan kepada pelajar yang mencapai keputusan cemerlang SPM dengan RM300 bagi pelajar yang memperoleh 3A ke atas, RM500 bagi yang melanjutkan pelajaran ke peringkat diploma, dan RM1,000 bagi yang ke peringkat ijazah.
Anyi turut menzahirkan harapan agar semua calon SPM diberi kesihatan yang baik, ketenangan fikiran dan ketajaman ingatan sepanjang menduduki peperiksaan.
“Yakinlah, setiap titik peluh dan doa anda akan membuahkan hasil yang terbaik. Jadilah generasi pewaris bangsa yang berilmu dan berintegriti demi masa depan negara yang gemilang,” tambahnya.
Oleh Tarani Lanting