
KABONG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir menegaskan komitmennya untuk terus memperjuangkan keperluan infrastruktur pendidikan di kawasan ini selaras dengan aspirasi kerajaan negeri dalam meningkatkan taraf kemudahan pendidikan luar bandar.
Beliau berkata, usaha berterusan perlu dilakukan bagi memastikan setiap sekolah di kawasan luar bandar mendapat kemudahan asas yang mencukupi dan selamat demi keselesaan murid serta kelancaran proses pembelajaran.
Chee Kadir bersama isteri, Datin Meryani Yassin, semalam menghadiri sesi randau bersama pihak pengurusan di beberapa buah sekolah di kawasan Kabong, termasuk Sekolah Kebangsaan (SK) Saint Michael Plassu, SK Engkabang dan SK Abang Moh Sessang.
Menurutnya, sesi randau tersebut bertujuan membincangkan isu-isu berkaitan fasiliti sekolah serta mendapatkan maklum balas berhubung pelaksanaan beberapa projek pembangunan yang sedang dirancang di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) dan Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA).
“Pembangunan infrastruktur pendidikan di kawasan luar bandar menjadi keutamaan kerana ia secara langsung memberi kesan kepada keberkesanan sistem pembelajaran dan semangat pelajar untuk menimba ilmu,” katanya.
Beliau menambah, setiap projek yang dirancang perlu dilaksanakan secara teratur dan mengikut jadual bagi memastikan hasilnya dapat dinikmati oleh warga sekolah serta masyarakat sekitar.
Pada majlis tersebut, beliau turut menyampaikan geran Projek Khas kerajaan Sarawak kepada tiga Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah yang terlibat, masing-masing berjumlah RM7,000.
Geran itu, katanya, diharap dapat digunakan untuk melaksanakan pelbagai program dan aktiviti pendidikan yang memberi manfaat terus kepada pelajar.
Chee Kadir turut menzahirkan penghargaan kepada pihak sekolah atas komitmen mereka dalam mendidik anak-anak generasi masa depan serta menggesa agar kerjasama erat antara pemimpin, sekolah dan komuniti terus diperkukuh.
Oleh Adi Safarman